Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Persiapkan pemimpin masa depan universiti

Sumbangan kalangan akademia mencurahkan ilmu dan idea demi menyaksikan kemajuan negara sungguh bermakna dan mendapat pengiktirafan Jemaah Menteri. Pada 18 September lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober setiap tahun sebagai Hari Akademia. 

Ini adalah sebahagian usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik dan kepemimpinan di pelbagai peringkat pengajian termasuk universiti awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (IPK) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Agenda pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan semakin penting kerana negara pada hari ini sedang melalui satu arus perubahan besar dalam melahirkan insan berkualiti dari segi ilmu, nilai dan keupayaan memimpin. 

Berasaskan agenda ini, kementerian melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi atau AKEPT merencanakan pendekatan secara kolaboratif untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat demi kelangsungan pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi. 

AKEPT diberi amanah dan tanggungjawab dalam membangunkan satu sistem pengurusan bakat yang telus dan objektif bagi menjayakan agenda kepemimpinan di universiti awam. Oleh itu, model Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) dibangunkan dalam melestarikan agenda pengurusan bakat kepemimpinan institusi pendidikan tinggi negara.

Pengurusan bakat adalah satu bidang khusus dalam menguruskan pekerja iaitu aset terpenting di dalam organisasi. Model CBTM akan membantu universiti awam memberi tumpuan kepada kemahiran, pengetahuan dan ciri-ciri peribadi yang mempengaruhi prestasi kerja.

Model ini akan membolehkan warga universiti menilai keupayaan sendiri berbanding dengan keperluan jawatan dan mengenalpasti sebarang kekurangan dari segi kemahiran, pengetahuan dan peribadi. Oleh itu, warga universiti dengan bantuan pihak pengurusan akan dapat mengenalpasti dan mengikuti program latihan dan pembangunan yang berkesan untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan prestasi kerja mereka. 

Model kompetensi yang baik dan jelas akan membentuk program pembangunan selari dengan keperluan organisasi pada masa kini dan masa hadapan. Model kompetensi yang holistik akan merangkumi peribadi yang diperlukan untuk memastikan kecemerlangan prestasi kerja dan juga membangunkan budaya kerja organisasi yang menyumbang terhadap pencapaian objektif strategik organisasi. 

Dengan menggunakan model kompetensi, organisasi akan dapat mengenalpasti bidang dan program latihan yang mempunyai impak terhadap prestasi kerja dan perlu diberi penekanan supaya sumber terhad digunakan secara optimum. Model kompetensi juga berupaya menggariskan siapa memerlukan kemahiran tertentu pada jadual masa ditetapkan sepanjang laluan kerjaya seseorang pekerja itu. 

la akan memberi jaminan bahawa sebarang latihan dan pembangunan adalah berkait rapat dengan keperluan kerja dan individu terbabit. Pendekatan seperti ini adalah lebih baik daripada sistem biasa di mana pekerja dihantar menyertai program latihan dan pembangunan diri tanpa mengambil kira sama ada program itu mempunyai kaitan dengan keperluan kerja atau keperluan individu berkenaan.

Peningkatan Profesionalisme Berterusan juga menepati maksud pengurusan bakat sebagai suatu proses bersepadu dan berterusan dalam merancang keperluan, merekrut dan menambat modal insan berprestasi tinggi, dan memungkinkan mobiliti bakat-bakat terbaik ke segenap peringkat dan aras organisasi.

Dengan demikian setiap anggota organisasi dapat diposisikan pada kedudukan yang mengupayakan sumbangan dengan berkesan kepada organisasi, sekali gus mengembangkan potensi dirinya semaksimum mungkin.

Tema ini juga relevan kepada perspektif pelan penggantian yang menuntut kewujudan ‘critical mass’ yang mengamalkan budaya prestasi tinggi, yang bukan sahaja berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa, malah bersedia untuk mewarisi jawatan lebih tinggi, menerajui pasukan lebih besar dan memikul tanggungjawab lebih berat. 

Matlamat ini adalah selari dengan tekad AKEPT untuk memperteguhkan sifatnya sebagai sebuah organisasi pembelajaran yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu. Sebagai sebuah organisasi pembelajaran, AKEPT perlukan kumpulan pemimpin yang belajar sepanjang hayat dan dahagakan pengetahuan terkini.

Mereka sentiasa memugar kemahiran baharu bersifat responsif kepada perubahan dan sentiasa bersiap-siaga untuk menjuarai cabaran masa hadapan. 

Rumusannya, agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepemimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi perlu menyemarakkan lagi inisiatif yang berkait dengan kepemimpinan institusi agar barisan pelapis dapat dikenal pasti di peringkat awal dan usaha pembangunan bakat kepemimpinan institusi dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan holistik.

Bukan itu sahaja, agenda ini mempersiapkan pemimpin masa depan universiti tidak mati langkah untuk bersilat dengan cabaran Industri 4.0. 

Penulis adalah Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Kementerian Pendidikan

Berita Harian X