Khamis, 24 Oktober 2019 | 11:00am
CUTI bersalin 90 hari berpotensi memberi impak positif dalam usaha menstabilkan kadar pertumbuhan penduduk. - Foto hiasan

Impak, rasional cuti bersalin 90 hari

PADA pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan Kajian semula Akta Kerja 1955 untuk meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa 2021.

Namun, beberapa pihak kurang setuju dan ada juga yang menyifatkannya sebagai satu langkah baik, terutamanya bagi golongan ibu. Menurut statistik, pada 2019, kadar kelahiran penduduk Malaysia menurun 1.7 peratus berbanding 2018 iaitu berdasarkan perbandingan data kelahiran suku tahun kedua.

Kadar kesuburan (fertility rate) juga menurun yang turut meningkatkan kemungkinan negara menghadapi kemerosotan jumlah penduduk pada masa akan datang.

Kadar kelahiran yang menurun menyebabkan negara berisiko menghadapi masalah ketidakseimbangan penduduk yang boleh menyebabkan masalah bebanan kebergantungan (dependency burden) dalam kalangan warga emas.

Ini secara langsung memberi tekanan kepada faktor ekonomi dan sosial. Contohnya, kadar kelahiran yang rendah hari ini akan menyebabkan jumlah penduduk yang bekerja adalah rendah dalam masa 20 tahun akan datang.

Pada masa sama juga, penduduk dewasa hari ini akan menjadi warga emas dengan jumlahnya adalah lebih tinggi. Ini menyebabkan lebihan warga emas, yang mungkin kebanyakannya tidak menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, akan memberi bebanan kepada generasi muda yang masih bekerja untuk menampung kos hidup mereka, terutama disebabkan sumbangan cukai yang semakin berkurangan.

Lantas, pihak kerajaan juga akan mengalami masalah pembiayaan disebabkan oleh pengurangan hasil cukai, malah turut perlu menyediakan lebih kemudahan dan infrastruktur untuk warga emas yang membabitkan kos tinggi.

Jadi, pemberian tambahan tempoh cuti bersalin dilihat berpotensi memberi impak positif dalam usaha menstabilkan kadar pertumbuhan penduduk di Malaysia. Ini memberi galakan kepada golongan wanita untuk melahirkan anak dan turut memberi ruang kepada mereka untuk merawat anak mereka dengan lebih sempurna.

Maka, ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi jika diberikan rawatan yang secukupnya, terutamanya dengan pemberian susu ibu.

Dari sudut yang lain pula, pemberian cuti bersalin 90 hari ini akan memberi impak kepada produktiviti sesebuah syarikat, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai jumlah kakitangan sedikit.

Tidak dinafikan, penambahan tempoh cuti bersalin ini boleh melambatkan urusan operasi syarikat yang akhirnya diterjemahkan kepada pendapatan firma yang mungkin merosot.

Maka kesimpulannya, pertimbangan kesan jangka panjang dan jangka pendek adalah penting dalam memastikan masalah pertumbuhan penduduk dapat ditangani dengan lebih efektif.

Bagaimanapun, penduduk yang berkualiti dari segi kesihatan, pemikiran dan tingkah laku adalah lebih diperlukan untuk membangunkan ekonomi negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X