Sabtu, 2 November 2019 | 6:13pm
- Foto hiasan

Jerebu, kempen antisawit tuntut noktah berkesan

KITA sudah melalui dua kejadian pencemaran di Pasir Gudang, Johor dan diikuti beberapa pencemaran sungai yang menyebabkan penutupan loji perawatan air serta jerebu baru-baru ini.

Isu yang berbeza ini mempunyai persamaan ketara. Apabila insiden berakhir, kita cenderung melupakannya sehingga kejadian berulang. Tiada penyelesaian konkrit terhasil daripadanya kecuali omong kosong pihak berwajib.

Insiden jerebu sahaja sudah berlaku lebih dua dekad. Belanjawan 2020 mengumumkan RM27 juta diperuntukkan untuk menangani kempen anti- sawit dan RM30 juta kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Kimia untuk menangani pencemaran.

Adakah kita akan mendapat nilai untuk wang dibelanjakan? Sebagai permulaan, apa berlaku kepada ‘laporan penuh’ mengenai pencemaran Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang? .

Lihatlah bagaimana keadaan jerebu menjadikan Malaysia kalah. Ia akan bermula dengan penafian, diikuti kenyataan menyesali insiden.

Apabila tekanan memuncak di Malaysia, kita akan dapat jawapan bahawa ini hanya beberapa bulan, tetapi mereka (Indonesia) memberi udara bersih untuk bernafas bagi bulan seterusnya.

Sekiranya tekanan mulai meletus, Indonesia akan menamakan beberapa syarikat Malaysia diikuti sketsa ‘wayang kulit’ yang pendek. Akhirnya, kita diserang penyakit pelupa sehingga isu ini berulang kembali. Inilah versi ringkas bagaimana jerebu berlaku di Malaysia.

Bolehkah undang-undang jerebu merentas sempadan membantu? Sepatutnya, menteri bertanggungjawab melihat gambaran makro dan tidak sepatutnya mengikuti Singapura untuk membuat undang-undang rentas sempadan mengenai jerebu sahaja.

Malaysia harus menggubal undang-undang pencemaran merentas sempadan dan jerebu salah satu elemen yang boleh dimasukkan. Persetujuan undang-undang kerjasama antara negara jiran, iaitu Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina harus disusuli.

Gunakan kerjasama sedemikian untuk terus mendapatkan ASEAN bagi mengguna pakai Perjanjian Kerjasama Pencemaran Merentas Sempadan meliputi semua jenis pencemaran.

Lihat saja di Pasir Gudang. Ia sangat mudah untuk menghubungkan titik dan pautan ke syarikat berpotensi di sebalik kejadian pencemaran. Namun, tiada tindakan diambil terhadapnya hingga kini.

Apa akan kita lakukan jika bahan kimia berbahaya menyeberangi sempadan kebangsaan untuk mencemarkan dan mungkin menyebabkan kematian di negara jiran atau sebaliknya?

Oleh itu, ASEAN perlu menjadi matang dan meletakkan perlindungan lebih baik untuk rakyatnya berbanding hanya mengejar jerebu sahaja.

Sebenarnya mudah untuk menangani jerebu. Kerajaan Malaysia perlu dapatkan senarai semua syarikat yang didapati bersalah oleh Indonesia sejak 1990-an. Senaraikan semua pesalah dan pesalah berulang dalam kategori khas untuk pengetahuan umum.

Kerajaan juga mesti mengeluarkan larangan ke atas produk berkaitan syarikat berkenaan (terutama pesalah berulang) sebagai hukuman ekonomi yang lebih efektif. Anda perlu ‘memukul’ mereka di mana ia paling menyakitkan melalui kaedah ‘menamakan dan memalukan’.

Wujudkan tekanan sama pada peringkat antarabangsa untuk mengharamkan syarikat dan pelabur mereka.

Kerajaan juga perlu wujudkan pemodelan pencemaran tiga dimensi dan indeks pencemaran lebih baik untuk lokasi yang mempunyai kepadatan tinggi kawasan kediaman bertingkat.

Satu analisis titik tunggal tidak mewakili penduduk yang tinggal di bangunan tinggi. Ini untuk memastikan pemantauan pencemaran dan pengurusan kecemasan yang lebih baik.

Kerajaan juga harus menerbitkan sumber tahunan yang terbazir untuk menguruskan jerebu. Kerugian ini mesti dikira daripada tahun jerebu bermula yang ditambah dengan kadar deposit tetap lazim digunakan setiap tahun untuk mengumpul kerugian sehingga 2019.

Ini termasuk anggaran perbelanjaan perubatan awam dan swasta, kakitangan kerajaan yang ditugaskan untuk mengendalikan jerebu, gangguan operasi orang awam dan sektor swasta disebabkan jerebu dan bidang berkaitan lain. Inilah yang pesalah hutang kepada rakyat Malaysia.

Gunakan juga platform ASEAN untuk menuntut kerugian dialami Malaysia selama ini.

Kempen antisawit dapat dikendalikan secara profesional dan cepat. Selepas Malaysia dan ASEAN mengeluarkan syarikat yang bersalah, kedudukan industri sawit akan menjadi lebih kukuh.

Jika industri sawit dituduh secara salah, fakta perlu diperbetulkan dalam kes mahkamah dan gunakan semakan kehakiman atau proses lain demi membatalkan larangan Kesatuan Eropah (EU) mengenai penggunaan minyak kelapa sawit untuk biofuel.

Sekiranya EU dikalahkan, keputusan mahkamah ini akan menjadi iklan percuma di seluruh dunia dan industri kelapa sawit boleh membersihkan namanya secara bergaya. Mengapa perlu gunakan wang pembayar cukai?

Di Malaysia kita menggunakan minyak sawit untuk hampir semua aktiviti, kenapa berkempen di sini? Industri ini harus membiayai sebarang aktiviti untuk melindungi kepentingan mereka.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) tidak pernah menjangkakan perlindungan kebajikan alam sekitar dan orang ramai akan jatuh ke tahap sangat teruk. Lebih menyakitkan melihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada publisiti murahan.

Jadi, sebelum mana-mana peruntukan terbazir, bolehkah menteri yang menjaga sawit dan alam sekitar melaksanakan cadangan diberikan sebelum penghujung 2019?

Penulis adalah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Berita Harian X