Jumaat, 17 Januari 2020 | 11:00am

Hapus qisas ganti pampasan tak tepati syarak

UMUM berasa simpati mendengar luahan perasaan beberapa ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam dalam suatu sidang media di Putrajaya awal minggu ini. Terdahulu mereka bertemu Jawatankuasa Pilihan Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukum Mati Mandatori.

Pada awalnya, keluarga ini barangkali berasa lega apabila pembunuh dijatuhi hukuman mati. Namun, hidup mereka belum tenang kerana keadilan belum ditegakkan. Walaupun hukuman sudah lama dijatuhkan, pesalah belum menerima balasan kerana menunggu giliran untuk digantung sampai mati.

‘Penyeksaan’ ini bertambah lagi apabila mendengar pengumuman kerajaan yang mahu menghapuskan hukuman mati dan mengkaji status hukuman berkenaan bagi 33 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan beberapa statut lain.

Usaha ini dilihat oleh banyak pihak sebagai sebahagian persediaan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) pada masa akan datang. Sesungguhnya keadilan yang dicari belum ditemui oleh keluarga mangsa.

Dalam pada itu, ada juga cadangan daripada sudut pandangan Islam yang diutarakan, iaitu mengemukakan bayaran diyat (pampasan) sebagai ganti hukuman mati. Perlu difahami konsep diyat secara serpihan tidak boleh diambil begitu sahaja tanpa melihat keseluruhan sistem keadilan yang hendak dicapai menerusi penghukuman bagi kesalahan menghilangkan nyawa.

Hukuman mati bagi kesalahan membunuh dengan sengaja perlu dikekalkan. Syariat Islam menerusi al-Quran dan hadis memperuntukkan hukuman bagi kesalahan membunuh dengan sengaja ialah bunuh balas (qisas). Biarpun perbicaraan dilakukan berdasarkan tatacara jenayah di mahkamah, hak hukuman adalah milik keluarga mangsa. Jika ahli keluarga mangsa mahu qisas dilaksanakan, maka ia perlu dibuat segera. Di negara kita, kaedah hukuman mati ialah dengan cara menggantung.

Jumhur fuqaha’ berpendapat pelaksanaan hukuman hendaklah tidak dilengahkan apabila ia sudah muktamad. Jika ada rundingan mengenai kemaafan dan pembayaran diyat, maka hendaklah dilakukan dengan penuh kebaikan (islah) dan saling meredai.

Di Oman, pengesahan hukuman qisas dibuat oleh Sultan selepas mahkamah memutuskannya. Mengenai rayuan pula, tiada mekanisme rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Dengan cara ini, masa menunggu tidak lama. Realiti yang berlaku di negara ini ialah terdapat senarai panjang bagi banduan akhir.

Masalah utama dengan hukuman mati bukan hukuman itu sendiri, sebaliknya ialah masa menunggu pelaksanaannya terlalu lama. Bilangan banduan akhir sudah pun mencecah 1,281 orang, termasuk 413 warga asing. Proses rayuan sudah pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya. Yang tidak membuat rayuan pun terpaksa menunggu giliran yang panjang sebagai banduan akhir.

Michael Philip Spears ialah contoh pesalah yang meringkuk dalam penjara selama 20 tahun (16 tahun sebagai banduan akhir) sebelum diampunkan oleh Lembaga Pengampunan pada 2017. Penderitaan mental bukan sahaja dialami oleh pesalah, malah waris mangsa juga teraniaya dua kali: kehilangan mangsa dan penderitaan menunggu keadilan ditegakkan. Jelas, masalah utama bukan hukuman mati itu sendiri, tetapi masa menunggu pelaksanaannya yang terlalu lama.

Alternatif kepada qisas ialah diyat, iaitu pampasan kewangan. Ada yang menganggap diyat ialah wang mudah dan lebih menguntungkan pembunuh yang berharta. Hakikatnya, bukan mudah untuk memaafkan pembunuh seperti yang didengar daripada cerita di atas.

Sekalipun keluarga mangsa bersetuju menerima bayaran diyat, ramai cendekiawan Muslim berpendapat hakim masih boleh mengenakan hukuman penjara ke atas pembunuh sebagai hukuman tambahan. Adalah tidak tepat dari segi hukum Islam jika qisas dihapuskan dan hanya diyat dikekalkan kerana ini bersalahan dengan sifat diyat sebagai hukuman alternatif (badaliyyah) bagi pembunuhan sengaja.

Hukuman qisas wajib dikenakan jika sabit kesalahan. Jika keluarga mangsa mahu memaafkan pembunuh, mereka boleh menerima bayaran diyat sebagai ganti. Jika hukuman mati bagi kesalahan membunuh dihapuskan oleh kerajaan, diyat tidak boleh wujud secara tunggal.

Diyat wujud bersama fungsi kemaafan. Kemaafan ialah hak keluarga mangsa secara eksklusif. Selepas melihat sidang media keluarga mangsa di atas, didapati sangat sukar untuk memaafkan pembunuh kerana ia memerlukan sifat ihsan yang amat tinggi.

Sekiranya keluarga mahu memaafkan pembunuh, mereka ada dua pilihan, sama ada mereka menerima diyat atau hukuman penjara seumur hidup dikenakan ke atas pembunuh yang tidak mampu membayar diyat.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Berita Harian X