Ahad, 19 Januari 2020 | 1:41pm
Usaha pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan e-Tunai Rakyat dengan kebocoran data peribadi adalah pandangan dangkal. - Foto hiasan

Niat serong buat bising isu e-Tunai

AMAT tidak bertanggungjawab sekiranya sesuatu hasrat murni terus dicap sebagai mempunyai niat terselindung, tidak berfaedah dan seribu satu dakwaan tidak masuk akal.

Ini yang berlaku sebaik kerajaan melancarkan inisiatif e-Tunai Rakyat, Rabu lalu. Mereka yang menangguk di air keruh ini tidak menunggu masa lama menyebar pelbagai tohmahan dan momokan, semata-mata untuk melihat ia sebagai program gagal.

Apa tidaknya, bertaburan mesej disebar dan dikongsi di media sosial termasuk ada segelintir pemimpin pembangkang mendakwa maklumat peribadi diberi pemohon e-Tunai Rakyat tidak selamat, boleh dibocorkan dan mempunyai tujuan politik tersembunyi kerajaan.

Mereka cuba mempengaruhi betapa RM30 ditebus mereka yang layak menerusi e-dompet itu hanya ‘umpan’, konon kerajaan dan tiga syarikat pengendali terpilih boleh menjual data peribadi pengguna untuk tujuan lain.

Malah, cubaan pihak mengadu domba ini kononnya e-Tunai Rakyat ini usaha senyap melemahkan lagi ekonomi kaum tertentu, selain data raya (big data) ini bakal digunakan kelak untuk memanipulasi keputusan pilihan raya umum nanti.

Jelaslah, puak membuat ‘bising’ ini berniat serong. Mereka mahu mewujudkan keadaan gusar dalam kalangan pengguna dan dengan harapan rakyat keliru matlamat sebenar e-Tunai Rakyat diperkenalkan.

Adalah jelas, kerajaan melalui inisiatif digital ini bermatlamat mendekatkan rakyat dengan budaya tanpa tunai. Mungkin jumlah pemberian RM30 dianggap kecil, tetapi ia harus dilihat sebagai galakan permulaan baik. Malah, ternyata beberapa jam saja ia dimulakan, ratusan ribu rakyat menyertainya.

Bagi saya, usaha pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan e-Tunai Rakyat dengan kebocoran data peribadi adalah pandangan dangkal.

Ini kerana sebelum adanya lagi inisiatif e-Tunai Rakyat ini, kita sudah pun terdedah dan terbabit dalam bermacam-macam urusan memerlukan kita memberikan maklumat peribadi.

Mengapa misalnya ketika kerajaan terdahulu memperkenalkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tiada suara menyoal keperluan pemohon mendedahkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, gaji dan tanggungan keluarga.

Namun apabila e-Tunai Rakyat hasil inisiatif kerajaan baharu ini dilancarkan, tiba-tiba serba-serbinya dipersoal dan dipersalahkan.

Kita seharusnya yakin dengan jaminan kerajaan dan syarikat pengendali bahawa semua maklumat diserah pemohon dilindungi akta dan berstatus sulit.

Ini terpaksa dijelaskan sendiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dua hari selepas e-Tunai Rakyat dilancar bahawa tujuan inisiatif itu bukan untuk kerajaan mengambil kesempatan memperoleh dan menceroboh data peribadi rakyat.

Malah beliau menjelaskan kalau pun kerajaan mahu berbuat demikian, kerajaan sebenarnya dengan mudah boleh membuat carian menggunakan kad pengenalan saja.

Harus diingat, dalam soal melindungi data peribadi pengguna, undang-undang khusus diwujudkan sejak 2010 lagi diberi nama Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 (Akta 709).

Dalam konteks ini, di bawah Fasal 4 akta berkenaan menjelaskan takrifan data peribadi sebagai ‘apa-apa juga maklumat berkaitan transaksi komersial yang tersimpan dan dikendalikan secara automatik atau disimpan dalam sistem fail.’

Mereka yang menyalahguna maklumat diperoleh boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sekalipun kita merasakan data peribadi kita diproses pihak lain dan melanggar mana-mana peruntukan APDP 2010, kita boleh membuat aduan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.

Nah, jelaslah PDPA dan undang berkaitan jenayah komersial lain mengiktiraf privasi maklumat sebagai satu daripada hak asasi manusia dan melindungi data berharga, serta berpotensi menjadi komoditi bernilai.

Justeru bagi mereka yang hanya melihat sudut negatif dan enggan menerima perubahan, ada benarnya kata-kata mutiara ini. “Mereka yang tak mengubah fikiran tak akan mengubah apa-apa.”

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Berita dan Digital) BH

Berita Harian X