Isnin, 20 Januari 2020 | 10:46am
KEKALAHAN di Kimanis memberi isyarat agar kerajaan menilai semula kelemahan untuk terus mendapat kepercayaan rakyat. - Foto hiasan

Isyarat Kimanis tuntut perhatian

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang berpihak kepada pembangkang kelmarin, perlu dilihat sebagai satu isyarat jelas untuk kerajaan.

Sama ada pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) atau Pakatan Harapan (PH) pada peringkat Pusat, kedua-duanya perlu menyelami apa kelemahan masing-masing. Apakah punca sokongan majoriti pengundi Parlimen Kimanis lebih memihak kepada pembangkang?

Apakah dasar dan pendekatan dilaksanakan kerajaan negeri dan Pusat menjadi penyebab? Ini perlu dinilai contohnya seperti yang berlaku dalam kes berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS). Bukan sahaja ia perlu dipastikan selaras kehendak rakyat, tetapi lebih utama tidak menimbulkan isu yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan.

Dengan majoriti 2,029 diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin kali ini, berbanding 156 diraih mentornya, Datuk Seri Anifah Aman, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jelas sekali perubahan aliran sokongan harus diterjemah sebagai satu isyarat penting buat kerajaan.

Bagi penulis, bukan faktor calon menjadi penentu dalam pentas saingan satu lawan satu itu. Calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, seorang yang merendah diri dan mesra, selain disenangi rakyat. Hanya musuh politiknya saja yang pastinya tidak menyenanginya.

Namun, pengundi Parlimen Kimanis sudah menzahirkan pendirian. Apakah sebenarnya yang menyebabkan majoriti mereka menolak calon WARISAN itu, padahal wakil rakyat kerajaan mempunyai segala kelebihan. Mampu untuk membawa suara rakyat Kimanis di Parlimen dan mampu juga untuk memohon dana pembangunan bagi kawasannya.

Bagi penulis, punca utamanya WARISAN tewas dalam membaca dan memahami sentimen rakyat melalui PRK Kimanis. Mereka terlalu asyik menumpukan usaha menjawab tuduhan lawan berkaitan pelbagai isu, termasuk hal yang remeh.

Berbeza dengan pembangkang, mereka bijak memanipulasi sentimen itu, khususnya berkaitan isu pendatang asing yang sudah sekian lama menjadi duri dalam daging dan sangat sensitif dalam kalangan rakyat peribumi Sabah terutama masyarakat Kadazandusun.

Menerusi ceramah BN, rakyat sering ditakut-takutkan kesan buruk PSS yang dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci. Kononnya ia usaha untuk memberi kerakyatan dan keistimewaan kepada warga asing.

Rakyat turut ditakutkan kononnya PSS akan menyebabkan jumlah warga asing terus meningkat, dengan memberi gambaran bahawa ribuan anak mereka dilahirkan setiap tahun di negeri ini jika hari ini tidak dihantar pulang ke negara asal.

Semua tuduhan itu gagal ditepis WARISAN. Lantas rakyat Kimanis tidak melihat kebaikan PSS kepada Sabah. Bagi mereka, persepsi yang timbul PSS hanya memberi kesan negatif.

Lebih malang, sesi ceramah untuk menjelaskan isu PSS dibuat WARISAN dan rakan sekutunya, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) membosankan.

Bayangkan berceramah di bawah khemah panas mengenai PSS di hadapan penduduk kampung memakan masa sehingga dua jam. Ini mengalahkan kuliah pelajar jurusan politik dan undang-undang di universiti.

Penulis yakin penceramah berstatus peguam dan hujah bersandarkan fakta daripada buku ilmiah untuk menerangkan rasional PSS tidak dipandang langsung penduduk kampung.

Hakikatnya ramai berharap pelaksanaan PSS ditangguh dan mereka tertunggu-tunggu pengumumannya.

Kempen WARISAN juga lebih banyak menjawab tuduhan berkaitan pembentukan kerajaan negeri yang disifatkan pembangkang sebagai kerajaan pintu belakang.

Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau dijadikan sasaran utama kempen pembangkang kerana dituduh punca kejatuhan kerajaan BN di Sabah, selepas membawa keluar lima wakil rakyatnya untuk bekerjasama dengan WARISAN selepas PRU-14.

BN menggunakan isu berkenaan untuk membangkitkan kemarahan terutama dalam kalangan masyarakat Kadazandusun.

Kesannya, BN mendapat kelebihan berganda kerana Madius sendiri sukar menjawab rasional tindakannya, selain memberi alasan mengikut rentak perubahan pada peringkat Pusat selepas melihat kerajaan BN jatuh dan digantikan dengan PH.

Satu lagi kesilapan WARISAN adalah menganggap UMNO dan BN sudah hilang sokongan selepas pemimpin mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dengan kedua-dua DUN dalam Parlimen itu termasuk Bongawan yang dirampas WARISAN pada PRU-14 berpihak kepada kerajaan, kemenangan seolah-olah sudah berpihak kepada WARISAN. Namun ternyata keyakinan itu meleset.

Akhirnya, calon dipertaruhkan tersepit apabila pengundi Parlimen Kimanis memilih berdasarkan isu yang memihak kepada pembangkang, bukannya bersandarkan kredibiliti calon dalam membawa pembangunan, walaupun mereka mengakui masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk Kimanis.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Sabah.

Berita Harian X