Jumaat, 13 March 2020 | 11:01am
Gambar fail, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah ucapan pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Disember tahun lalu. - Foto Eizairi Shamsudin
Gambar fail, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah ucapan pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Disember tahun lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

Usah biar gempa politik cetus resah

Perubahan kepemimpinan negara dianggap lumrah dalam landskap demokrasi. Sekali pun perubahan tampuk kepemimpinan negara demokrasi lazimnya mencerminkan peralihan pola sokongan rakyat, ternyata Malaysia membuktikan sebaliknya pada dunia.

Demokrasi lebih besar daripada sekeping kertas undi yang hadir lima tahun sekali. Demokrasi adalah proses memastikan pemimpin dan penggubal dasar mempunyai akauntabiliti terhadap setiap tindakan dan dasar yang dibentuk.

Dalam menjamin kepentingan warga awam sentiasa didahulukan, keberadaan institusi demokrasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memudah cara pengawasan akauntabiliti pentadbiran kerajaan adalah suatu keperluan.

Penyerahan amanah tanpa tuntutan akauntabiliti menyuburkan budaya korupsi. Kehadiran institusi sivil dalam latar masyarakat demokratik perlu dimanfaatkan, sama ada oleh warga awam atau pentadbir kerajaan dalam menggembleng usaha kolektif membangunkan negara dengan saksama.

Demografik respon umum terhadap insiden BREXIT di United Kingdom (UK), diskriminasi terhadap Muslim di India dan kebangkitan white supremacy di Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan pertembungan yang jelas antara pengundi warga tua dan belia.

Warga tua ternyata lebih tinggi kecenderungan untuk terpedaya dengan mainan berita palsu serta lebih mudah diapi-apikan dengan sentimen perkauman.

Kontras pendirian antara kedua-dua generasi ini perlu dimurnikan sebaiknya melalui institusi kemasyarakatan dan corong semakan kesahihan informasi, sebelum mereka dipolarisasikan oleh pihak yang ingin mengganggu gugat kestabilan negara.

Kegagalan mengupayakan institusi sivil dengan strategik akan merencatkan agenda pembangunan negara.

Ketiadaan institusi kewangan yang berkredibiliti dengan kepelbagaian instrumen kewangan, mampu melembapkan pertumbuhan ekonomi domestik.

Kelesuan pertubuhan masyarakat sivil pula akan merencatkan perkembangan sosioekonomi yang berteraskan keadilan sosial. Ketirisan gerakan demokrasi dalam menjamin akauntabiliti penguasa boleh membiarkan rakyat termiskin dizalimi.

Memetik ungkapan wakil Malaysia ke Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ahmad Azam Ab Rahman:

“Krisis kemanusiaan bukan hanya di zon perang. Ia bermula dengan krisis nilai dalam sekelompok pimpinan negara. Apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat awam, nyawa jutaan insan sanggup dijadikan taruhan bagi memperoleh kekuasaan. Tidak semua mangsa kecelakaan kemanusiaan bermandi darah, ramai yang berendam peluh mengais hidup dalam kesempitan”.

Dalam hal ini, belia dan masyarakat harus terus proaktif berperanan dalam proses semak dan imbang terhadap iklim pentadbiran kerajaan.

Siri diskusi cadangan dasar yang inklusif oleh pihak kerajaan bersama pemegang taruh perlu dipergiatkan, sambil saluran penerimaan maklum balas daripada rakyat kepada badan kerajaan harus efektif tanpa perlu ditularkan di media sosial terlebih dahulu.

Dunia Islam kini sudah hilang figura harapan yang mampu menjuarai isu umat di pentas global. Pakatan tiga serangkai Malaysia-Turki-Pakistan yang menarik perhatian kuasa global pada 2018 kini sudah lesu tanpa bayangan.

Turki sedang dikepit operasi ketenteraan di Libya dan sempadan Syria. China kian mengukuhkan pengaruhnya di Pakistan dengan import tertinggi Pakistan adalah dari China, sekitar RM64 bilion setahun.

Malaysia pula baru sahaja selesai menyaksikan letusan lava politik yang bahangnya masih terasa, baik dari dekat mahupun jauh.

Susulan penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) pada Disember 2019, Malaysia dilihat sebagai negara yang mampu mengepalai kebangkitan semula kerjasama mampan antara negara majoriti Muslim.

Namun, melihat perkembangan semasa, tokoh dunia Islam kini ternanti-nanti akan pendekatan dan hala tuju pembawaan Malaysia dalam pentas kepemimpinan umat Islam global.

Institusi masyarakat madani turut terkesan dengan pergeseran antara kuasa besar dunia. Tatkala China dan Russia kemas merungkai dominasi AS terhadap ekonomi dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pula terus tercabar dengan pengaruh kepemimpinan Turki di rantau Asia Barat.

Pergeseran antara negara besar ini menimbulkan ketidakstabilan ekonomi dan ramai yang berisiko untuk hilang punca pendapatan. Jika berlarutan, situasi ini akan mendesak belia untuk hanya fokus pada kelangsungan masing-masing sehingga tiada ruang untuk terbabit dengan efektif dalam proses demokrasi dan institusi kemasyarakatan yang merakyat.

Mudah-mudahan ombak bah Malaysia kali ini tidak menghancurkan binaan baharu di tepian pantai yang melindungi awam daripada bencana banjir.

Yang pasti, gelora politik yang tiada boya amaran tsunami bukan sahaja menggugat keharmonian penduduk pantai, sebaliknya turut menggusarkan penggemar budu di serata bandar.

Penulis adalah Koordinator Wilayah (Asia Pasifik) bagi Kesatuan NGO Dunia Islam berpusat di Istanbul, Turki

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X