Ahad, 15 March 2020 | 11:30am
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Integriti cerminan personaliti pemimpin

SERUAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jemaah menteri wajib mengisytiharkan harta adalah tindakan proaktif. Ia perlu dilakukan bagi membuktikan ketelusan dalam memastikan harta diperoleh setaraf dengan punca pendapatan jemaah menteri.

Sebelum pelantikan itu pun, mereka sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini bermaksud barisan Kabinet sudah melalui proses saringan integriti dan keselamatan.

Namun, ketelusan, amanah dan kebertanggungjawaban akan terserlah jika mereka mengisytihar harta, termasuk keluarga sebelum menjalankan tugas sebagai menteri atau timbalan menteri. Persoalan integriti melambangkan personaliti bersih, jujur, bertanggungjawab dan amanah.

Mungkin ramai dalam kalangan anggota Kabinet sebelum ini sudah memupuk harta sebagai ahli perniagaan, korporat atau bekas menteri. Namun, jika mereka mengisytiharkan harta, rakyat akan mengetahui dengan ketelusan diberi dan tidak timbul persepsi salah.

Tindakan ini juga dapat mengelak gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta aktiviti yang boleh mencemarkan nama kerajaan.

Tindakan perisytiharan harta dan ikrar integriti, meyakinkan rakyat untuk menyokong kepemimpinan kerana berani membuktikan diri bebas rasuah, tanpa berselindung atau menyorokkan sesuatu.

Kita perlu belajar daripada pengalaman kepemimpinan negara sebelum ini. Rakyat mengharapkan anggota Kabinet dilantik bersih dan tidak terpalit sebarang kes rasuah serta penyelewengan.

Ini penting untuk pemimpin yang benar-benar bebas sebarang sabitan atau kes rasuah sahaja, layak memimpin negara. Malah, ia menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.

Untuk rekod, jika ada pertuduhan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai amalan rasuah, dokumen perisytiharan harta boleh menjadi bukti ia sudah diambil maklum kerajaan negeri atau persekutuan.

Kajian sikap juga menunjukkan antara ciri utama pemilihan pengundi ialah calon tidak terbabit atau terpalit rasuah. Malah, kajian saya mendapati pengundi mengharap agar calon mesti berintegriti tinggi, jujur, amanah dan bertanggungjawab. Personaliti calon memang menjadi keutamaan, selain anak tempatan dan turun padang.

Oleh itu, konsep Kepemimpinan Melalui Teladan sepatutnya menjadi teras barisan Kabinet baharu. Mereka mesti menunjukkan kepemimpinan terbaik dan berintegriti kepada rakyat.

Integriti berkait rapat dengan jati diri merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan melaksanakan amalan terbaik.

Sebagai penjawat awam, jemaah menteri diwajibkan mengisytiharkan harta diperoleh sebelum dilantik dan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Selalunya penjawat awam diminta berbuat demikian ketika mula melaporkan diri di jabatan kerajaan dan memperbaharuinya setiap lima tahun.

Pemimpin sebenarnya ikon dan contoh di mata masyarakat. Dianjurkan pemimpin mengamalkan amalan dan gaya kepemimpinan terbaik. Selalunya dihormati, bukan ditakuti.

Sebenarnya cabaran terbesar parti dan ahli politik adalah berkaitan integriti. Pemerintah, terutama parti yang memegang kuasa berdepan persoalan memantapkan integriti dan menangani tuntutan serta harapan rakyat yang kian meningkat.

Secara keseluruhan, rakyat mahu gelanggang politik menjadi medan bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Politik bersih dan mengamalkan integriti dalam pentadbiran membolehkan pelaksanaan setiap dasar, program berjalan lancar.

Sewajarnya, jemaah menteri dan kepemimpinan negeri menghadiri program integriti anjuran SPRM. Program ini menyediakan input, penghayatan serta pengamalan ke arah ikrar integriti bagi menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada pengurusan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Seterusnya, ia dapat memperbaiki persepsi masyarakat terhadap SPRM dan meningkatkan pengetahuan pihak pengurusan tertinggi kerajaan negeri, di samping menjadikan mereka sebagai tokoh pencegahan rasuah dan berperanan sebagai pihak mempertahankan SPRM.

Barisan Kabinet juga perlu memahami aspek kepemimpinan berteraskan integriti; memahami integriti dalam politik (Do’s & Dont’s) serta menyedari hubungan kuasa politik dan integriti. Keadaan pada hari ini sudah berbeza berbanding persekitaran satu dekad lalu.

Ahli politik juga memperlihatkan komitmen membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan rakyat dan pengundi masing-masing.

Pada masa sama, kita mengharapkan pemimpin pada masa hadapan berintegriti dan bebas rasuah, Justeru, kepemimpinan pada peringkat Persekutuan dan negeri menjadi gelanggang demokrasi bagi politik matang dan sejahtera.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X