Selasa, 24 March 2020 | 11:00am

Cekap urus COVID-19 peluang yakinkan pelabur

Kelam kabut akibat COVID-19 bukan sekadar memperlihatkan pelbagai gejala ketewasan minda dan tindakan manusia kepada bencana wabak pandemik, malah menyerlahkan kejelekan perilaku manusia tanpa sedar.

Pujangga menyebut ‘di padang orang berlari, di padang sendiri berjingkat’. Ketamakan menguasai rasionaliti menyaksikan perebutan dan persaingan hodoh dalam kalangan komuniti.

Paling utama dalam usaha mendapatkan bekalan makanan (yang realitinya melebihi kecukupan), menjadikan masyarakat kita pengguna yang amat rendah tahap moral mereka dari sudut kepenggunaan.

Begitu juga pelbagai pandangan peribadi dan kritikan disalurkan bertali arus di media sosial tanpa mempertimbangkan adab memberi pandangan serta teguran.

Segala-galanya dihamburkan bukan saja tanpa tujuan khusus kepada sasaran yang jelas, malah turut merendahkan peribadi personaliti sosial termasuk ulama dan pihak dipertanggungjawab mentadbir situasi tegang dan kritis.

Dalam kalangan komuniti digital, egoisme dimanipulasi dengan cara mengambil kesempatan atas kesilapan dan kelemahan orang lain. Pengurusan krisis menjadi mangsa ketidakadilan pertimbangan dasar semata-mata kerana berbeza pandangan dan orientasi jalan penyelesaian.

Langkah Machiavellianisme - niat menghalalkan cara - diperguna sesulit mungkin menerusi agenda politik kepartian. “Lupakan politik, tumpukan kepada bencana wabak” kata mereka. Mereka lupa bahawa menguruskan bencana juga proses dan kegiatan berunsurkan politik.

Pada masa sama, kebanyakan langkah pengawalan wabak disinggung sebagai langkah yang salah dan tidak cerdik. Perang psikologi terus dihangatkan dengan mengirim strategi rungkaian moral, menanam pemikiran di minda orang ramai bahawa sesuatu yang betul itu sebenarnya salah ataupun sebaliknya. Ini dilakukan tanpa rasa bersalah atau tertekan.

Narcisisme - penonjolan segi kehebatan diri sendiri - digunakan sebagai mekanisme untuk menarik minat dan sokongan moral orang ramai, sekali gus memperkecil dan merendahkan orang lain.

Tindakan berkenaan dibuat dengan kepercayaan bahawa mereka, pelaku itu sendiri, sememangnya dianggap lebih baik dan layak menerima kelebihan dan keistimewaan tertentu.

Psikopati ini - keadaan minda dengan ketiadaan empati dan kawalan diri - mencetuskan kemarahan berpanjangan yang sentiasa berusaha menghalalkan perbuatan mereka menurut kaca mata mereka sendiri.

Kebanyakan perlakuan itu barangkali mempunyai kaitan yang kuat dengan unsur dendam yang menyimpan keinginan dan kesediaan untuk meruntuhkan serta menjahanamkan kepentingan orang lain meskipun mereka sendiri barangkali terkesan secara langsung dalam proses melunaskan dendam.

Semua unsur personaliti ini adalah sisi gelap keperibadian ahli komuniti. Dalam sedar mahupun tanpa sedar, sisi gelap ini menjadi desakan yang memacu perlakuan orang ramai untuk melakukan apa yang mereka lakukan.

Sisi gelap ini mempunyai potensi mencetuskan perasaan negatif terutama sewaktu krisis. Ketika pihak berkuasa mengatakan ‘baik’, sisi gelap ini akan mengatakannya sebagai ‘buruk’. Ketika kebanyakan negara lain percaya bahawa kita menuju arah yang betul, mereka memaksa orang lain percaya bahawa kita menuju jalan mati.

Sisi gelap ini tidak bermata. Ia tidak dibatasi status dan kedudukan sosial. Itu yang sebenarnya membahayakan.

Penulis ialah Prof Adjung Fakulti Perniagaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Selangor (UNISEL).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X