Jumaat, 27 March 2020 | 5:51pm
Petugas melakukan saringan COVID-19 di Zon Saringan di Hospital Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Petugas melakukan saringan COVID-19 di Zon Saringan di Hospital Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Warga asing perlu disaring tanpa stigma takut ditangkap

BEBERAPA minggu kebelakangan ini, kerajaan memperkenalkan langkah tambahan untuk membendung wabak COVID-19 di Malaysia. Antara menjadi tumpuan adalah peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di Masjid Seri Petaling pada Februari lalu.

Perhimpunan berkenaan dihadiri ribuan orang termasuk ratusan pelarian dan pendatang, yang mana sebahagiannya tidak memiliki dokumen sah.

Kerajaan menggesa semua peserta menjalani ujian saringan. Walaupun ramai dalam kalangan pelarian dan pekerja asing tampil, mereka masih berhadapan halangan besar.

Keputusan kerajaan memastikan semua orang diberi akses percuma kepada ujian saringan COVID-19 tepat. Pemohon suaka biasanya dikenakan bayaran mengikut kadar warga asing yang lebih tinggi untuk mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan.

Diskaun 50 peratus untuk pelarian yang mempunyai dokumen sah juga masih lagi berdasarkan kadar warga asing itu.

Pelarian dan pemohon suaka yang tidak mempunyai dokumen masih diselubungi rasa takut ditangkap dan ditahan ketika mendapatkan rawatan kemudahan kesihatan sejak Pekeliling Kesihatan 10/2001 dikeluarkan hampir 20 tahun lalu. Ketakutan ini menghantui mereka di rumah atau di jalanan, gara-gara serbuan imigresen yang kerap dilakukan.

Sebagai organisasi kemanusiaan perubatan yang menawarkan khidmat penjagaan kesihatan kepada pelarian dan golongan terpinggir, Médecins Sans Frontières atau Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyaksikan bagaimana perasaan takut dilaporkan kepada perkhidmatan imigresen mendorong banyak pesakit tidak mendapatkan rawatan tepat pada masanya.

Di klinik penjagaan kesihatan utama di Pulau Pinang yang disokong MSF, pesakit Rohingya dan komuniti pelarian lain turut dilapor meninggalkan hospital atau melarikan diri ketika mendapatkan rawatan selepas diancam akan ditangkap.

Satu analisis dijalankan MSF di Pulau Pinang antara Mei hingga Disember 2017, mendapati lebih 20 peratus yang dirujuk MSF kepada Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk penilaian permohonan suaka, ditolak kemasukan atau pendaftaran untuk kemudahan penjagaan kesihatan.

Ada juga pesakit ditangkap dan ditahan selama dua bulan, ketika mendaftar kehamilan di klinik kerajaan pada trimester terakhirnya. MSF terus berdepan pesakit dengan keadaan mengancam nyawa, yang melaporkan kelewatan mendapatkan rawatan akibat takut dilaporkan kepada perkhidmatan imigresen. Pada 2018, keadaan sama menimpa tiga orang disyaki menghidap batuk kering (tuberkulosis).

Pengumuman dibuat Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, pada 22 Mac lalu mengesahkan persetujuan kerajaan tidak mengambil kira status sah atau mengenakan tindakan kepada mereka yang ada dalam negara tanpa dokumen ketika pemeriksaan COVID-19.

Bagaimanapun, kenyataan itu hanya berkait rapat perhimpunan tabligh. Maka, tiada jaminan jelas untuk warga asing lain. Jadi, MSF menyeru pemansuhan Pekeliling 10/2001 oleh Kementerian Kesihatan. Ini masa sesuai kementerian dan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Imigresen, suarakan sokongan politik mereka bagi inisiatif ini.

Cabaran dihadapi Malaysia menjalankan proses pengesanan kontak lebih berkesan ketika wabak COVID-19, jelas menggambarkan kesan negatif apabila tiada pemisahan antara perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan imigresen.

Pemansuhan Pekeliling Kesihatan 10/2001 akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan menunaikan tanggungjawab profesional dan etika mereka menyediakan rawatan perubatan kepada pesakit memerlukan, tanpa mengira status imigresen. Ia akan membantu mencegah kelewatan sama ada dalam mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan pada masa depan dan memastikan penjagaan kesihatan awam berkesan untuk semua.

Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan mantap. Dasar dilaksanakan 20 tahun lalu, yang mengehadkan akses kepada penjagaan kesihatan penting dan memberi kesan negatif terhadap langkah kesihatan awam dengan meminggirkan kumpulan yang terdedah, perlu diubah.

Penulis adalah Ketua Misi MSF di Malaysia

Berita Harian X