Khamis, 2 April 2020 | 9:00am
Dr Noor Hisham berjaya membuktikan beliau dan anak buahnya di KKM sedang memberikan yang terbaik untuk rakyat dan terus berkhidmat untuk negara. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Dr Noor Hisham berjaya membuktikan beliau dan anak buahnya di KKM sedang memberikan yang terbaik untuk rakyat dan terus berkhidmat untuk negara. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Munculnya ikon sehebat Dr Noor Hisham

SEJAK tercetusnya wabak COVID-19, antara figura menarik perhatian dan mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setiap hari rakyat dan wartawan ternanti-nanti kemunculannya untuk mengumumkan status serta laporan harian kes COVID-19. Ketenangan, kematangan dan sikap profesionalisme individu ini dalam melaksanakan tanggungjawab beratnya cukup terserlah.

Walaupun penat mengendalikan krisis begitu serius, wajah dan penampilannya sentiasa tenang serta kata-katanya cukup meyakinkan kita semua.

Dalam konteks ini, tidak keterlaluan untuk kita menobatkan seorang ketua dan pemimpin yang hebat ini sebagai ikon penjawat awam 2020 dengan harapan akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada seluruh penjawat awam di negara ini.

Hingga ke saat ini, Dr Noor Hisham berjaya membuktikan beliau dan anak buahnya di Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberikan yang terbaik untuk rakyat dan terus berkhidmat untuk negara.

Antara kata-kata semangatnya kepada petugas kesihatan yang cukup terkesan dan menarik untuk dihayati ialah “Harapan negara kini disandarkan ke bahu kita. Sama ada kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada kita untuk meneraju perjuangan ini dan melakukan yang terbaik demi Raja dan negara.”

Ironinya kita memulakan tahun baharu 2020 dengan penuh cabaran dan dugaan. Kita dikejutkan krisis politik hingga berlaku pertukaran kerajaan dan juga Perdana Menteri. Disusuli pula dengan krisis kesihatan yang cukup dahsyat dan mengancam nyawa rakyat.

Hakikatnya, kedua-dua krisis ini memberikan kesan besar kepada kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Namun, seperti sering kita dengar, setiap musibah pasti ada hikmahnya.

Bagi penulis, kedua-dua krisis yang berlaku silih berganti ini membuka ruang dan peluang yang cukup terbaik kepada rakyat untuk mengetahui peranan besar penjawat awam yang berikrar akan berkhidmat untuk negara.

Betul, krisis seumpama ini menyerlahkan kepentingan dan fungsi sebenar setiap individu penjawat awam dan institusi perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Mengimbau kembali krisis politik tempoh hari, untuk satu tempoh masa kita tidak mempunyai kerajaan, hanya ada Perdana Menteri Interim tanpa barisan Jemaah Menteri. Namun, keutuhan sistem perkhidmatan awam dan dedikasi penjawat awam membolehkan semua aspek pentadbiran dan pengurusan negara terus berjalan dengan lancar walaupun berhadapan situasi dan tempoh masa cukup getir dan mencabar.

Penjawat awam tidak berpartisan atau memihak terus mencurahkan khidmat bakti berpaksikan ikrar ‘saya yang menjalankan amanah’ apabila berjaya meneruskan kesinambungan perkhidmatan efisien kepada rakyat. Semua agensi awam beroperasi dan memberikan perkhidmatan seperti biasa kepada rakyat tanpa sebarang gangguan atau masalah.

Ringkasnya operasi dan perkhidmatan agensi kerajaan berjalan seperti biasa hingga Jemaah Menteri baharu dibentuk.

Kini, sekali lagi rakyat disajikan kehebatan penjawat awam khususnya dalam kalangan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi, bersemangat dan bertanggungjawab walaupun berhadapan dengan ancaman risiko kepada nyawa sendiri.

Penularan wabak COVID-19 membuka peluang kepada kelompok ini membuktikan kemampuan dan peranan mereka. Misalnya walaupun terpaksa membuat saringan secara besar-besaran, merawat pesakit positif serta terus berhadapan dengan peningkatan kes baharu, mereka terus cekal dan tabah mengharungi cabaran dan melaksanakan tanggungjawab.

Malah, mereka kelihatan langsung tidak gentar, berputus asa mahupun mengalah, sebaliknya terus menghulurkan bantuan dengan perkhidmatan terbaik.

Bagi penjawat awam barisan hadapan lain seperti polis, tentera, pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), imigresen dan lain terus berkorban dan bertugas dalam keadaan hujan dan panas demi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

Walaupun masih ada yang ingkar, mereka terus bersabar dan memberikan perkhidmatan terpuji dan efisien demi mencegah serta menghentikan penularan wabak ini.

Menariknya, walaupun kita berada dalam situasi PKP yang menyebabkan premis kerajaan terpaksa ditutup, surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan Arahan Bekerja Dari Rumah menjelaskan komitmen berterusan penjawat awam.

Penjawat awam daripada pelbagai kategori terus bekerja dari rumah demi memastikan segala urusan dan perkhidmatan penting kerajaan kepada rakyat dapat berjalan seperti biasa.

Hakikatnya, seperti kata-kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, penjawat awam sentiasa dilatih dan dididik untuk utamakan negara, jauh melebihi kepentingan diri dan dilantik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat.

Malah, penjawat awam juga tidak pernah mengharapkan sebarang pujian mahupun penghargaan, sebaliknya hanya mahu mencurahkan khidmat bakti dengan jujur dan ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan warna kulit.

Secara umumnya, kita dapat melihat walau apapun berlaku, institusi penjawat awam dan perkhidmatan awam terus kekal utuh sebagai benteng kepada seluruh rakyat Malaysia.

Institusi ini terus memberikan sinar harapan besar kepada anggota masyarakat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Semoga perkhidmatan awam negara ini dapat melahirkan lebih ramai lagi ikon hebat seperti Dr Noor Hisham.

Penulis ialah Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X