Jumaat, 3 April 2020 | 10:00am
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

Atasi masalah rantaian bekalan elak PKS merudum

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) bagaikan angsa bertelur emas. Ia bukan hanya untuk menyara hidup dan pertumbuhan mereka, malah menentukan pendapatan serta pertumbuhan hampir semua dalam sesebuah ekonomi.

Jika proses bertelur mengalami masalah, keupayaan untuk menyara hidup akan terjejas, lantas menjunam ke arah kebinasaan.

Ia akan melalui kesan domino yang boleh meruntuhkan seluruh ekonomi. Itulah hakikat ekonomi moden kita.

Satu lagi hakikat, mereka perlu diselamatkan dan ia perlu segera. Hakikat ketiga, jumlah bantuan bukan sedikit diperlukan.

PKS memainkan peranan genting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia. Mereka merangkumi kira-kira 98.5 peratus atau hampir sejuta daripada semua pertubuhan perniagaan. Peluang pekerjaan diwujudkan PKS ialah 66.2 peratus (2018).

Sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang kadar sederhana, 5.8 peratus pada 2019 (6.2 peratus pada 2018).

Dalam sektor perkhidmatan, sumbangan sektor pelancongan yang terdapat banyak PKS sangat penting — pada 2019, 28.1 juta pelancong tiba menjana RM92.2 bilion dalam resit pelancongan.

Dari segi rantaian bekalan dan rangkaian niaga pula, 68.1 peratus PKS menjadi pembekal langsung firma asing besar di negara ini. Daripada PKS yang menjadi pembekal tidak langsung, 21.6 peratus dibekalkan melalui perantara yang juga PKS Malaysia, firma asing besar di Malaysia (16.4 peratus), PKS asing di Malaysia (12.9 peratus) dan firma besar Malaysia (12.1 peratus).

Meskipun Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani COVID-19 sangat menyeluruh, tumpuan PKS jelas memerlukan perhatian lebih mendalam.

PKS sendiri mengakui PRIHATIN sangat baik menangani masalah permintaan, tetapi dari sudut bekalan, banyak lagi boleh diusahakan.

Sekiranya kebimbangan masalah bekalan tidak diatasi segera, ia akan meningkatkan kerapuhan kehidupan ekonomi kebanyakan PKS kerana mereka menghadapi pelbagai pukulan dihadapi ekonomi dunia sebelum COVID-19.

Namun, ada rahmat di sebalik keadaan muram seperti kenyataan Profesor Harvard, Karen Mills yang juga bekas Pentadbir Perniagaan Kecil pentadbiran Barrack Obama.

Katanya, tidak seperti kemelesetan ekonomi global 2008 yang memberi kesan besar kepada PKS dan bank umumnya mengalami masalah kecairan, dalam krisis kali ini bank berkedudukan baik yang boleh digunakan membantu PKS pada masa mencabar ini.

Di bawah pakej PRIHATIN, bank memberi moratorium pinjaman dan menawarkan dana bantuan khas COVID-19 (SRF) untuk PKS, sementara kerajaan menawarkan kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM50 bilion kepada semua PKS dan subsidi gaji kepada semua majikan.

Ini permulaan baik, tetapi tidak mencukupi. Jika COVID-19 tidak memerlukan PKP, ia mungkin mencukupi sebagai langkah permulaan.

Oleh itu, langkah pertama perlu dilakukan adalah membantu mereka mengimbangi kehilangan pendapatan ketika PKP agar kedudukan mereka kekal sama seperti sebelumnya.

Apabila PKP berakhir, usaha perlu ditumpukan membantu PKS dengan masalah aliran tunai. Moratorium pinjaman sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah ini.

Lebih penting, syarat dan terma mendapatkan dana daripada SRF perlu dipulas dan disesuaikan untuk menjadikan cukup fleksibel untuk dimohon PKS.

Ini antara lain perlu mengetepikan sebarang kebimbangan CCRIS/CTOS dari Januari hingga Mac 2020 ekoran kelembapan ekonomi, selain mengurangkan keperluan akaun yang diaudit dua tahun untuk hanya satu tahun.

Ia juga memerlukan bank mengubah kriteria pendanaan, iaitu ‘mesti menjadi pelanggan kami’ kepada ‘mesti pelanggan institusi kewangan diiktiraf.’

Dokumen juga perlu dimudahkan untuk permohonan dan jika perlu, sertakan jaminan pengarah bagi risiko pinjaman diagihkan.

Selain itu, tempoh 10 hari perniagaan daripada permohonan hingga agihan dana dan mengetepikan keperluan keuntungan untuk PKS yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dengan aliran tunai terbukti.

Seterusnya, kemudahan jaminan pinjaman perlu diubah, iaitu diagihkan dengan nisbah 70 peratus untuk perniagaan kecil dengan tidak lebih 250 pekerja dan 30 peratus untuk perniagaan bersaiz sederhana dengan lebih 250 pekerja.

Jumlah pinjaman pula adalah RM100,000 hingga RM2 juta untuk perniagaan kecil dan bersaiz sederhana (RM10 juta hingga RM25 juta).

Yuran atau bayaran permohonan hendaklah diberi diskaun atau dikecualikan. Pinjaman mudah tanpa faedah harus disasarkan pada syarikat permulaan (start-ups), perusahaan kecil atau perniagaan kurang lima tahun

Kemudahan pinjaman mudah bernilai RM25 bilion turut disediakan dari September atau lebih awal jika PKS masih berada dalam kesukaran.

Walaupun kebimbangan utama adalah kesihatan awam dan kebajikan rakyat, penting juga bagi kerajaan untuk meningkatkan lagi langkah yang diumumkan dalam PRIHATIN demi menyelamatkan syarikat daripada muflis serta membantu pulih segera.

Penulis adalah Pengarah Media dan Komunikasi di EMIR Research

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X