X
Sabtu, 4 April 2020 | 10:01am
ANGGOTA Polis bersama anggota Tentera memeriksa kenderaan yang membawa lebih dari seorang ketika sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 untuk menangani penularan Covid-19. NSTP/Asyraf Hamzah
ANGGOTA Polis bersama anggota Tentera memeriksa kenderaan yang membawa lebih dari seorang ketika sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 untuk menangani penularan Covid-19. NSTP/Asyraf Hamzah

Bantu negara bendung COVID-19

PADA 1 April lalu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mula memasuki tahap 2. Lantas setiap warga punya peranan besar dan bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing.

Petugas barisan hadapan khususnya, berjuang demi mengekang penularannya. Rakyat di rumah pula perlu bersama memainkan peranan mematuhi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warga prihatin.

PKP dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) adalah contoh jelas kesungguhan kerajaan menangani gejala COVID-19 dan pada waktu sama, memahami kesulitan dan kebajikan rakyat yang tidak boleh diabaikan.

Dari sudut pendidikan, penularan COVID-19 memberi kesan terhadap perjalanan, penjadualan dan pendekatan sistem pendidikan negara. Konsep pengajaran dan pembelajaran kini tertumpu kepada pendekatan secara dalam talian dan maya.

Secara khusus, semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menggerakkan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian lantaran penularan COVID-19.

Saya sendiri selaku Naib Canselor, sedar dan akur mengendalikan universiti terbesar dengan jumlah 180,558 pelajar, 17,346 staf, 526 program akademik dan 35 kampus cawangan di seluruh negara sememangnya penuh mencabar.

Justeru, dengan penguatkuasaan PKP dan penularan COVID-19, inovasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran amat penting dan perlu diteruskan.

Semua universiti mengambil sepenuhnya pendekatan teknologi bagi meneruskan agenda pendidikan. Pada waktu sama, kemelut dan isu tidak juga sunyi walaupun pelbagai kaedah digunakan. Umpamanya, dalam isu kualiti pengajaran dan ketepatan penilaian akan terus menjadi perdebatan.

Sejauh mana kaedah pengajian dalam talian berupaya menilai apa yang sepatutnya diukur? Apakah ia selari dengan piawai badan profesional? Apakah gred yang sesuai, sekadar lulus dan gagal atau perlukan perincian seperti yang selalu diamalkan? Apakah take-home exam pula menjadi pilihan? Semua ini akan menjadi persoalan.

Menyedari hakikat inilah, saya ingin berkongsi pendekatan menggerakkan pengawalan ini demi mengaspirasikan tujuan PKP menjadi kenyataan. Justeru, pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan terus dinikmati dalam kalangan warga universiti khususnya UiTM.

Berdasarkan statistik semasa Kementerian Kesihatan (KKM), Selangor mempunyai peratus tertinggi disahkan positif COVID-19.

Secara keseluruhannya 9,258 terbabit dalam kawalan PKP yang mana 6,968 pelajar masih berada di kolej kediaman. PKP juga tidak terkecuali bagi 368 pelajar antarabangsa mengikuti pembelajaran pasca siswazah di UiTM cawangan.

Pelbagai inisiatif dilakukan bagi mengawal keadaan antaranya menyediakan kolej kediaman, bilik isolasi atau kuarantin, kemudahan makanan dan minuman, perkhidmatan Counsellor On Call, kemudahan pusat kesihatan dan bantuan sukarelawan 24 jam.

Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa (OIA) turut menubuhkan pasukan krisis barisan hadapan untuk menangani hal berkaitan pelajar antarabangsa seperti menyediakan makanan percuma tiga kali sehari, penginapan berpusat di Shah Alam, Puncak Alam, dan kampus cawangan.

OIA juga menggalakkan pembangunan video kreatif #[email protected] oleh pelajar antarabangsa di Instagram dan Facebook untuk keluarga di negara asal dan menguruskan perkara berkaitan imigresen, visa, dan passport.

Pelajar antarabangsa juga dibantu untuk kelulusan perjalanan kembali ke negara asal, menyediakan pengangkutan ke lapangan terbang dengan dikawal polis bantuan UiTM.

Dalam suasana negara berhadapan COVID-19, UiTM mengamalkan kesiapsagaan optimum. Pekeliling rasmi Naib Canselor dari masa ke semasa dikeluarkan bagi menjamin setiap tindakan dapat dituruti seluruh warga universiti seiring pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi serta pematuhan PKP.

Menyahut seruan kerajaan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (InnovationLab) yang menjalankan kerjasama dengan beberapa rakan strategik, mengambil inisiatif mencipta peralatan pelindung muka yang menjadi sebahagian peralatan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Dalam suasana terkini, tentunya banyak perkara perlu dibantu, bermula dengan topeng muka, kit saringan hinggalah cecair pembasmi kuman.

Hakikatnya, saya ingin mengajak seluruh rakyat saling memahami dan membantu mengikut kemampuan dan kelebihan masing-masing. Bersamalah kita memerangi dan menangani penularan COVID-19.

Kerajaan sudah pun menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan demi kesejahteraan dan kebajikan kita sentiasa terpelihara.

Kini, giliran kita pula sebagai warga berperanan dengan saling mengingati dan bekerjasama, tanpa ada terkecuali.

Naib Canselor UiTM

Berita Harian X