Isnin, 6 April 2020 | 11:00am
Petugas KKM membawa keluar sebahagian daripada 12 orang yang mempunyai kontak rapat kes di Plaza City One untuk di kuarantin selepas membuat saringan COVID-19 di Flat Selangor Mansion, Masjid India semalam. - Foto BERNAMA
Petugas KKM membawa keluar sebahagian daripada 12 orang yang mempunyai kontak rapat kes di Plaza City One untuk di kuarantin selepas membuat saringan COVID-19 di Flat Selangor Mansion, Masjid India semalam. - Foto BERNAMA

Menjangka sisi putih ekonomi pasca pandemik COVID-19

Sehingga 2 April lalu, 203 negara di dunia terjejas akibat pandemik COVID-19. China sekarang giat memantau kes pesakit tanpa gejala yang dianggap pembawa senyap virus itu.

Pakar kesihatan mempunyai pandangan berbeza berkaitan bahaya kes positif COVID-19 dalam kalangan pembawa senyap virus itu.

Sementara negara lain bergelut meratakan lengkungan, China sekali lagi berdepan gelombang baharu virus COVID-19. Berdasarkan sejarah, setiap gelombang baharu pandemik bermutasi dan menghasilkan virus baharu, tetapi ia kurang berbahaya.

Semoga dunia dapat mengekang penularan wabak ini dan menemui vaksin secepat mungkin.

Pernahkah pandemik sebegini berlaku dalam sejarah dunia? SarawakVoice melaporkan dunia mengalami sekurang-kurangnya 10 wabak dahsyat setakat ini. Satu daripadanya Spanish flu yang menyerang jutaan manusia sekitar 1918 hingga 1919. Ia tercetus pada bulan terakhir Perang Dunia Pertama.

Osman Affandi dalam artikel beliau melaporkan kira-kira satu pertiga penduduk dunia dijangkiti penyakit pada ketika itu. Malangnya, tiada ubat khusus ditemui.

Langkah kesihatan ketika itu sama seperti sekarang. Penggunaan pembasmi kuman, kuarantin, mencuci tangan dan memakai topeng muka. Semua perhimpunan awam dibatalkan, manakala sekolah, gereja dan teater diarah tutup.

Kay Suhaimi dalam tulisannya pula menyatakan hampir 90 tahun kemudian barulah penyelidik menemui penyebab penyakit itu.

Virus COVID-19 krisis kesihatan terburuk dunia. Kejutan ekonomi kesan krisis ini mempengaruhi ekonomi dunia.

Yang paling teruk terjejas sektor perkhidmatan terutama pelancongan, perhotelan, pelayaran dan penerbangan. Sektor lain juga akan terkesan ekoran rantaian pengeluaran, penggunaan dan pengagihan peringkat global.

Artikel Kay Suhaimi pada 24 Mac memetik pendapat beberapa tokoh ekonomi terkenal yang yakin ekonomi dunia akan pulih dan syarikat gergasi akan kembali beroperasi secara normal.

Antaranya pandangan James Boughton dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang menganggap setiap krisis adalah peluang untuk sesebuah kerajaan melakukan perubahan yang dapat diterima rakyat.

Dalam artikel sama, Kay mengupas beberapa perubahan lain yang bakal berlaku pasca COVID-19. Sebelum itu, mari kita soroti pengalaman dunia menangani krisis sejagat.

Pada awal 70-an, krisis harga minyak menjayakan usaha penjimatan dan kecekapan penggunaan tenaga. Krisis kewangan Asia 1997 menyebabkan dunia mengenakan peraturan dan kawal selia lebih ketat dalam sektor perbankan dan kewangan.

Krisis Kewangan Global 2008 pula melihat reformasi terhadap infrastruktur kewangan, sekali gus mengarusperdanakan sistem kewangan Islam yang berasaskan aktiviti dalam sektor sebenar.

Satu artikel dalam The Wall Street Journal pada 2011 mencadangkan institusi wakaf sebagai antara penyelesaian krisis ekonomi dunia.

Seorang ahli akademik Amerika Syarikat berpendapat gabungan Brexit, perang dagang China-Amerika Syarikat dan COVID-19 akan menjadi pengubah permainan sistem rantaian bekalan pembuatan di dunia.

Semua negara sedar pergantungan kepada satu sumber saja dalam perdagangan antarabangsa berisiko besar.

Terkini, krisis kesihatan awam kesan COVID-19 membuka peluang pilihan bekerja dari rumah. Sektor pendidikan pula beralih kepada pembelajaran dalam talian. Kemungkinan besar kursus pembelajaran dalam talian akan menjadi popular.

Pembelian secara dalam talian semakin rancak berkembang kerana penjarakan sosial dapat mengelak risiko jangkitan.

Kerajaan seluruh dunia juga mungkin memperuntukkan pembiayaan awam lebih besar untuk sektor kesihatan.

Bill Gates menyatakan seawal 2015, ‘Jika ada wabak meletus, kita tak akan bersedia.’

Beliau mencadangkan satu sistem kesihatan menyeluruh dan beberapa cadangan lain, termasuk simulasi germ games untuk menguji kesediaan negara berdepan krisis kesihatan awam. Mungkin cadangan beliau akan disambut baik selepas ini.

COVID-19 akan mewujudkan dasar ekonomi normal yang baharu. Anda pernah menonton filem No Country for Old Men arahan Joel dan Ethan Coen yang dinobat Filem Terbaik Anugerah Akademi 2008?

Heriyanto mengulas filem ini dan kesimpulannya - tiada hitam putih dalam kehidupan. Setiap perkara ada sisi putih dan hitam. Kadangkala dua sisi ini bergabung. Justeru akan sentiasa ada arus perubahan dan semangat juang yang baharu.

Struktur ekonomi pasca COVID-19 akan membawa perubahan dan pendekatan baharu. Adakah pertanian moden akan kembali menjadi penyumbang utama ekonomi domestik? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X