Selasa, 7 April 2020 | 12:18pm

Mencari kata sepakat pulih ekonomi

COVID-19 bukan sahaja mengancam sektor kesihatan dunia, bahkan ekonomi global. Jika tidak dibendung, ia akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, lebih parah bakal menjurus ke arah kemelesetan global.

Justeru, banyak negara mengambil langkah drastik mengumumkan pakej rangsangan dan bantuan kewangan khas. Dianggarkan lebih AS$200 bilion (RM873 bilion) diumumkan di seluruh dunia. Antara terbesar, China dengan AS$71.2 bilion (RM310.8 bilion) dan Amerika Syarikat (AS$50 bilion/RM218.3 bilion).

Malaysia turut mengumumkan RM250 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Malah, kerajaan juga mengumumkan Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) RM10 bilion.

Tujuan Pakej PRIHATIN PKS adalah mengukuhkan semula sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengumuman ini tepat memandangkan perkembangan perniagaan suram dan merosot kesan COVID-19. Ia menjejaskan pendapatan syarikat dan memberi kesan besar pekerja.

Justeru, Pakej PRIHATIN PKS mampu memberi nafas baharu bagi membantu usahawan PKS menyelamatkan perniagaan serta mengekalkan pekerja sedia ada.

PKS penyumbang utama sektor pekerjaan di negara ini, iaitu lebih dua pertiga dan hampir 40 peratus kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun masih ada beberapa ruang dan inisiatif tambahan boleh dilaksanakan Kerajaan bagi menangani kesan ekonomi rentetan impak COVID-19.

Kerajaan juga perlu beri penekanan kepada industri perniagaan yang tidak tergolong PKS, terutama syarikat beroperasi dalam sektor pembuatan dan perindustrian di dalam atau luar negara.

Antara inisiatif boleh dipertimbangkan adalah memberi kebenaran kepada syarikat ini meneruskan operasi dengan syarat ketat bagi mengelakkan daripada mengalami kerugian, sekali gus menutup atau memindahkan operasi mereka ke negara lain.

Walaupun kerajaan sudah memberikan pengecualian kepada syarikat dikategorikan di bawah ‘essential products’ untuk meneruskan operasi, pengecualian juga harus diberikan kepada syarikat lain yang tidak dikategorikan dalam senarai itu.

Mereka juga memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi dan menawarkan pekerjaan serta peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

Sekiranya syarikat ini menutup operasi, sudah tentu ia memberi akibat buruk bukan sahaja kepada pengeluaran dan permintaan pelanggan, bahkan pekerja tempatan. Ia penting memastikan kita mampu menangani impak ekonomi lebih besar pada masa depan memandangkan pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka amat mencabar.

Berdasarkan unjuran Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi negara 2020 dijangka merosot ke paras -0.1 peratus. Bank Negara Malaysia juga menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara dengan menganggarkan berada antara -2 dan 0.5 peratus.

Ada beberapa faktor menyumbang ke arah kemerosotan ini, iaitu pertama berpunca ‘ekonomi mikro’ atau faktor ekonomi domestik seperti permintaan dan bekalan serta aktiviti dan perniagaan harian tempatan yang menguncup.

Faktor kedua berpunca ‘ekonomi makro’ lebih besar, iaitu merangkumi aktiviti perdagangan global yang lebih mencabar memandangkan bergantung kepada pemulihan ekonomi menyeluruh.

Sudah tentu pergolakan ekonomi ketika ini memberi kesan besar kepada negara seperti berlaku dalam beberapa peristiwa kemelesetan ekonomi sebelum ini.

Sebagai contoh, ketika Persekutuan Tanah Melayu menghadapi kemelesetan ekonomi dunia atau Great Depression pada 1930, pendapatan eksport negara menerusi industri getah dan timah merosot hingga 43.5 peratus dan menyebabkan kedudukan ekonomi terjejas teruk kedua-duanya penyumbang utama hasil negara.

Namun, nilai dagangan eksport kedua-duanya berjaya dipulihkan dengan pantas menerusi perjanjian pengurangan pengeluaran dan bekalan bagi menstabilkan harga di pasaran global.

Antara perjanjian ialah International Rubber Regulation pada 1934 dan International Tin Cartel (1931) yang berjaya menstabilkan semula harga pasaran getah serta timah dunia.

Formula sama dan pendekatan strategik lain juga diambil negara bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi seperti Krisis Kewangan 1997-1998 dan Krisis Kewangan Global 2008-2009 yang akhirnya berjaya kita tangani dengan berkesan.

Bagaimanapun, situasi kini berbeza dan bakal berikan implikasi lebih besar berbanding krisis ekonomi sebelum ini. Hasil pendapatan terbesar negara disumbangkan sektor minyak dan gas yang setiap ‘disruption’ ke atas harga pasaran sudah pasti menjejaskan hasil pendapatan negara.

Berdasarkan anggaran, setiap penurunan AS$1 kepada harga minyak dunia menyebabkan pengurangan sebanyak RM300 juta kepada hasil pendapatan negara.

Oleh itu, semua negara perlu bersiap sedia dan bekerjasama demi kepentingan semua pihak. Dalam hal ini, World Trade Organization (WTO) seharusnya memainkan peranan sebagai pemudah cara dan perantara aktiviti perdagangan global.

Selain memberikan suntikan kewangan bagi merangsang perkembangan ekonomi tempatan, perbincangan dan kata sepakat membabitkan semua negara perlu segera digerakkan.

Ia bertujuan selamatkan aktiviti perdagangan global dan stabilkan bekalan serta permintaan pasaran demi kurangkan kesan kemelesetan ekonomi global.

Penulis adalah Pengurus Penggalakan Pelaburan, Perak Investment Management Centre (InvestPerak)

Berita Harian X