Sabtu, 16 Mei 2020 | 11:32am

Pandemik tuntut guru lebih kreatif, selangkah ke depan

Kerajaan mengambil langkah bijak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan, dua minggu selepas sambutan Aidilfitri. Majoriti rakyat bersetuju ia perlu demi memastikan keselamatan dan kesihatan setiap individu dan kluster masyarakat terjamin.

Mengikut laporan, lebih 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja kembali menjalankan tugas. Sektor pendidikan antara terakhir dibenarkan beroperasi.

Dengan hampir lima juta murid sekolah rendah dan menengah serta hampir 420,000 pendidik daripada 10,208 sekolah di seluruh negara, agak mustahil untuk Kementerian Pendidikan memastikan langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sudah semestinya pergerakan lebih besar akan berlaku mengambil kira mereka yang terbabit rangkaian perkhidmatan pengoperasian sekolah seperti pengusaha kantin, bas sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak.

Justeru, alternatif untuk memastikan murid terus menerima pendidikan formal adalah melalui pembelajaran dalam talian, menerusi TV pendidikan, mahupun penghantaran bahan pengajaran seperti diusahakan Muhammad Nazmi Rosli, guru Bahasa Inggeris dan Seni di Lawas, Sarawak yang sanggup meredah 13 kampung untuk memastikan semua anak didiknya memanfaatkan tempoh PKP dengan mengulang kaji pelajaran.

Perkongsian bahan pembelajaran sama ada secara dalam talian ataupun dalam bentuk bahantara fizikal satu cara pendidik memenuhi aspek kognitif dalam proses pembelajaran murid.

Namun perlunya pendidik memikirkan cara bagaimana matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi - memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan - dapat dipenuhi, dalam konteks pendidikan tidak berlaku secara fizikal dan bersemuka.

Cabaran ini cukup besar kerana tidak pernah dalam sejarah peradaban manusia, guru tidak berada secara bersemuka dengan muridnya. Pendidikan formal secara tradisionalnya meletakkan satu konteks pembelajaran di mana guru dan murid perlu berinteraksi secara bersemuka, supaya penerapan ilmu, nilai dan kemahiran dapat dipupuk berterusan.

Pandemik COVID-19 'memaksa' manusia melakukan penjarakan sosial. Jelas paradigma pendidikan formal secara konvensional selama ini menjadi amalan turun- temurun perlu diubah.

Menteri Kanan (Pendidikan) menekankan proses pendidikan kini tidak boleh berorientasikan kurikulum sedia ada semata-mata, tetapi perlu berteraskan pengembaraan ilmu. Ilmu itu pula boleh diperoleh tidak kira di mana dalam bentuk apa sekali pun, asalkan dapat menyumbang pembentukan sahsiah sebagai individu.

Beliau berkata, pendekatan pembelajaran di rumah perlu dioptimumkan guru dan murid dalam tempoh PKP dan pasca PKP. Jelas Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta perlu dilaksanakan.

Warga pendidik bukan sahaja perlu memikirkan bagaimana Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah perlu disampaikan, tetapi juga bagaimana matlamat FPK untuk membangunkan murid seimbang intelek, emosi, rohani dan jasmani dapat dicapai.

Mereka perlu selangkah ke hadapan untuk mempakejkan semula kurikulum sedia ada bagi memastikan murid sekurang-kurangnya mencapai tahap minimum penguasaan standard pembelajaran.

Perlu juga dirancang supaya pentaksiran dilaksanakan dapat menilai prestasi murid secara holistik, bukan sahaja berfokus kepada aspek kognitif tetapi juga afektif dan psikomotor.

Benar, bukan mudah untuk warga pendidik melaksanakan tugas mereka dalam suasana penjarakan sosial ini. Menyampaikan kurikulum melalui kelas dalam talian cukup mencabar kesabaran dengan capaian internet yang tidak stabil dan penyediaan murid yang tiada capaian langsung.

Itu belum lagi dikira respon suam-suam kuku murid terhadap tugasan diberi, namun semuanya dilalui guru penuh dedikasi.

Berbeza kalau murid di hadapan mata. Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) begitu berfokus, reaksi murid dapat diteliti sama ada benar-benar faham dan responsif terhadap setiap subjek, pentaksiran berterusan dan pembentukan sahsiah dapat dibentuk dalam diri mereka.

Satu cara bagaimana pentaksiran secara holistik dapat dilaksanakan dalam talian adalah melalui pendekatan berasaskan projek secara berkumpulan, dengan penilaian beberapa subjek diletakkan sebagai kriteria pemarkahan.

Sebagai contoh, sekumpulan murid diberi projek menghasilkan poster dalam dwibahasa mengenai keselamatan bahan masakan di rumah untuk subjek Sains. Bagi projek ini, tiga subjek dapat dinilai iaitu Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Poster dihasilkan boleh juga merangkumi subjek Pendidikan Islam apabila menyentuh tentang produk halal dan kebersihan.

Kerja kumpulan dapat memupuk nilai kerjasama dan kesabaran kerana murid perlu mengamalkan etika berkomunikasi dalam talian. Proses penyediaan projek ini juga boleh direkodkan untuk penilaian.

"Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu" - tema Hari Guru 2020 amat tepat untuk dihayati warga pendidik, dalam usaha kita semua menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian hidup.

Demi anak bangsa yang bakal membawa Malaysia ke era lebih cemerlang, gurulah yang perlu menjadi pemangkin kepada kegemilangan negara. Selamat Hari Guru 2020.

Penulis ialah Pengarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Berita Harian X