Khamis, 21 Mei 2020 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Udara bersih bendung pandemik

BEBERAPA kajian saintifik mengaitkan hubungan penyebaran penyakit berkaitan virus termasuk COVID-19 dengan kehadiran titisan wap air yang dilepaskan daripada individu dijangkiti melalui proses seperti batuk dan bersin.

Titisan wap air bersama COVID-19 akan segera jatuh ke permukaan lantai atau perabot disebabkan beratnya dan tarikan graviti. Titisan wap halus boleh juga terapung di udara dalam sesuatu masa disebabkan saiznya dan ringan.

Wap air ini juga boleh berasosiasi dengan zarahan halus atau wap air sedia ada dalam ruang udara.

Umumnya kumpulan zarahan dan wap air dalam gas di udara dinamakan aerosol terampai. Aerosol dalam bentuk wap air dan zarahan halus boleh menjadi perumah dan agen penyebaran bahan toksik serta mikroorganisma di udara, termasuk virus yang terhasil daripada haiwan atau manusia yang menghidap penyakit.

Aerosol terampai biasanya amat sensitif dengan pergerakan udara atau angin yang menyebarkannya dari suatu tempat ke tempat lain. Bagi ruang udara tertutup dengan aliran udara rendah, aerosol akan terampai dalam satu tempat dalam masa beberapa jam sebelum jatuh ke permukaan.

Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan kualiti udara luaran, juga memainkan peranan dalam kes disebabkan virus.

Kajian terkini di Itali diterbitkan Environmental Pollution menunjukkan hubungan ketara kes COVID-19 dengan dua kawasan yang amat tercemar udaranya iaitu Lombardy and Emilia Romagna.

Kajian menyatakan pencemar udara, terutama zarahan halus mengurangkan daya ketahanan atau imuniti dan meningkatkan radang. Ia seterusnya menyebabkan kerosakan kepada silia iaitu pertahanan pertama manusia dalam sistem pernafasan atas.

Silia adalah organel sel berbentuk rerambut halus yang berkeupayaan memerangkap zarahan terampai daripada masuk ke dalam ruang paru-paru manusia. Fungsi fisiologi silia berkurangan akibat kehadiran bahan pencemar udara tinggi dalam saluran pernafasan.

Manusia sentiasa terdedah bahan pencemar udara biasanya lebih cenderung mengalami masalah pernafasan kronik dan lebih mudah dijangkiti agen jangkitan.

Dapatan ini disokong kajian penyelidik Universti Harvad di Amerika Syarikat yang menunjukkan hubungan kematian akibat kes COVID-19 dengan kepekatan zarahan halus PM2.5 tinggi di udara.

Insiden kes COVID-19 berlaku lebih tinggi di Lembah Klang dan beberapa bandar besar lain memerlukan kajian serupa dilakukan di negara kita.

Berdasarkan permerhatian mata kasar dan teknologi satelit, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menurunkan kadar pencemaran udara. Fenomena ini jelas apabila atmosfera bumi yang berjerebu menjadi biru di beberapa bandar utama dunia yang terkenal dengan pencemarannya.

PKP menurunkan jumlah kenderaan di jalan raya terutama kenderaan yang memasuki bandar utama. Gas utama akibat pembakaran lengkap oleh kenderaan iaitu gas nitrogen dioksida berkurang dengan banyaknya akibat pengurangan kenderaan.

Keadaan ini ditambah penutupan beberapa industri utama yang turut menyumbang pencemaran udara. Di Malaysia, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), ketika PKP fasa satu pengurangan gas nitrogen dioksida berlaku sebanyak 55 hingga 68 peratus, diikuti gas sulfur dioksida (17 hingga 34 peratus) karbon monoksida (6 hingga 15 peratus) dan zarahan terampai halus (6 hingga 14 peratus).

Pengurangan gas ini dan juga zarahan terampai kesan pelepasan zarahan daripada faktor tempatan, seterusnya menurunkan nilai Indeks Pencemaran Udara (API) ke tahap yang baik dan sederhana terutama di kawasan bandar utama.

Faktor angin dan pergerakan udara serantau masih memberi kesan kepada nilai API. Apa cuba disampaikan, pandemik disebabkan COVID-19 boleh memberi pengajaran terhadap pentingnya penjagaan dan pemuliharaan kualiti udara.

Wap air dan aerosol di udara boleh menjadi agen penyebaran bahan mikroorganisma termasuk virus. Udara tercemar menjadi penyebab jangkitan lebih mudah berlaku.

Masalah pernafasan akibat pencemaran udara boleh menjadi faktor kelemahan sistem pertahanan manusia untuk menerima agen penyakit seperti virus. Dalam pada itu, keadaan berlaku juga ada hikmahnya.

Kawalan pergerakan dan pengurangan jumlah kenderaan memberi kebaikan kepada kualiti udara di beberapa bandar di dunia. Ia menunjukkan faktor kawalan emisi daripada sumber lokal dan tempatan dapat membantu mengurangkan tahap pencemaran udara di sesuatu tempat.

Perkara ini boleh diambil kira apabila negara menghadapi sesuatu krisis berkenaan pencemaran udara seperti jerebu yang berlaku saban tahun di rantau ini.

Ahli Pasukan Bertindak, Kluster Tenaga, Air dan Alam Sekitar, Akademi Profesor Malaysia (APM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X