Sabtu, 23 Mei 2020 | 10:30am
LAWATAN ke zoo antara kegiatan mampu tarik minat kanak-kanak untuk menghargai hidupan liar. - Foto AFP
LAWATAN ke zoo antara kegiatan mampu tarik minat kanak-kanak untuk menghargai hidupan liar. - Foto AFP

Tingkat kesedaran kanak-kanak lindungi hidupan liar

HARI Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2020, semalam dengan tema Our Solutions are in Nature menuntut tindakan manusia untuk merujuk kembali kepada alam semula jadi.

Berfokus hidupan liar, isu semasa mengenainya tidak pernah lekang diperbincangkan. Daripada isu pemusnahan habitat, pemburuan dan perdagangan haram hingga isu penyakit bawaan haiwan (zoonosis), termasuk COVID-19.

Ramai tidak sedar, hidupan liar memainkan peranan dalam persekitaran semula jadi. Pertama, fungsi ekologi hidupan liar ditakrif sebagai peranan ekologi spesies seperti menyokong kepelbagaian tumbuhan dengan cara menyebarkan biji benih dan pendebungaan misalnya oleh kelawar serta burung.

Hidupan liar juga menyokong struktur trofik, iaitu keseimbangan dalam rantaian makanan dan sebagai 'jurutera' alam sekitar. Contohnya aktiviti menggali tanah dan membina busut sebagai kawasan kediaman oleh landak dapat membantu pengudaraan serta aliran air bawah tanah dengan lebih baik.

Kedua, hidupan liar memberi manfaat dari segi kos dan kepentingan ekonomi serta pengembangan pendidikan alam sekitar menerusi nilai estetika, rekreasi hidupan liar, ekopelancongan dan program pendidikan alam sekitar.

Namun, saban hari kegiatan manusia terhadap hidupan liar dan habitatnya tidak berhenti. Permintaan terhadap hidupan liar sebagai sumber makanan eksotik dan haiwan peliharaan berterusan walaupun banyak bukti serta maklumat jelas melaporkan risiko jangkitan virus atau penyakit bawaan hidupan liar ini boleh berlaku kepada manusia.

Disebabkan peningkatan kadar kepupusan, kematian dan penurunan populasi hidupan liar, langkah serta usaha pengenalan kepada kesedaran dan pengetahuan mengenai peranan dan kepentingan hidupan liar sangat penting. Usaha ini memerlukan perubahan terhadap tingkah laku bermula pada usia muda.

Kanak-kanak mempunyai pelbagai jenis hubungan terhadap hidupan liar dalam kehidupan seharian. Mereka belajar hidupan liar dan alam semula jadi dalam suasana formal dan tidak formal.

Satu kajian di Eropah melaporkan kanak-kanak prasekolah (5 hingga 6 tahun) memperoleh maklumat mengenai dunia di sekeliling mereka daripada media dan orang lain. Kajian lain di New York melaporkan pada usia 7 hingga 11 tahun, kanak-kanak mula belajar bekerjasama dan mengambil bahagian dengan rakan atau orang dewasa.

Kajian di California pula melaporkan pada usia 10 hingga 12 tahun, pelajar secara aktif mencari lebih banyak maklumat mengenai haiwan. Antara usia 11 hingga 12 tahun pelajar mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk memproses maklumat dengan lebih berkesan.

Di Malaysia, pendidikan membabitkan hidupan liar diperkenalkan kepada pelajar pada usia 10 tahun dalam sukatan mata pelajaran Sains dan pengetahuan dipertingkatkan lagi ketika berada di Tahun 5.

Jelas, sekolah ialah sumber utama bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat pengetahuan asas hidupan liar dan kesedaran alam sekitar.

Kajian tahap pengetahuan dan kesedaran terhadap hidupan liar dalam kalangan pelajar Tahun 5 dijalankan sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu dan Petaling Perdana.

Seramai 638 responden daripada 12 sekolah rendah di Bintulu dan 391 responden daripada sembilan sekolah di Petaling Perdana terbabit.

Daripada hasil tinjauan, 76 peratus pelajar di Bintulu dan 83 peratus di Petaling Perdana mempunyai pengetahuan mengenai definisi hidupan liar.

Pelajar di Bintulu memperoleh pengetahuan hidupan liar kebanyakannya daripada televisyen (79 peratus) dan guru (73 peratus).

Di Petaling Perdana pula, guru (74 peratus) dan sekolah (71 peratus) memainkan peranan sebagai sumber maklumat utama tentang hidupan liar.

Internet (69 peratus) dan televisyen (68 peratus) direkodkan sebagai sumber maklumat mengenai hidupan liar dalam bentuk pentas digital.

Jika dilihat sudut kesedaran terhadap hidupan liar, 86 peratus pelajar di Bintulu dan 96 peratus di Petaling Perdana bersetuju hidupan liar perlu dilindungi.

Namun, masih ada segelintir memilih tidak bersetuju hidupan liar dilindungi.

Justeru, lebih banyak usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kanak-kanak mengenai pendidikan hidupan liar harus dipertimbangkan.

Sebagai contoh, program alam sekitar, lawatan ke zoo dan penyampaian maklumat interaktif melalui media seperti dokumentari video boleh dimanfaatkan untuk menarik minat generasi muda terhadap hidupan liar.

Hidupan liar ialah khazanah alam sangat bernilai untuk sesebuah negara. Justeru, pengetahuan dan pendedahan berterusan mengenai hidupan liar, terutamanya di negara ini harus dipupuk sejak kecil dan berterusan hingga dewasa.

Pakar Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar di Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X