Jumaat, 31 Julai 2020 | 11:00am

Gabungan parti politik realisasi agenda rakyat

Ramai terkejut dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan UMNO tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan terus memantapkan kerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN).

Namun, bagi saya yang mengikuti perkembangan politik negara, tidak terkejut dengan pengumuman itu. UMNO sejak tertubuhnya kerajaan PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac lalu, tidak pernah mengiktiraf konsep gabungan politik PN ini.

Malah, apabila ada cadangan mendaftarkan PN sebagai gabungan politik sah seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), ada desakan penolakan dari dalam kepemimpinan UMNO akan hasrat itu.

Di media sosial, ramai menyatakan tindakan UMNO keluar daripada PN kerana kecewa dengan keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang didapati bersalah untuk semua tujuh pertuduhan dikenakan.

Memang, UMNO kecewa dengan keputusan mahkamah itu tetapi bagi saya keputusan dibuat untuk keluar PN tidak terkait dengan keputusan mahkamah terbabit. Keputusan UMNO sebenarnya lebih kepada satu reaksi kepada hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ingin menyertai MN.

Persoalannya, kenapa baharu sekarang BERSATU ingin menyertai MN? Ini bagi saya banyak berkait dengan imej positif dan populariti Muhyiddin sekarang selepas berakhirnya keputusan mahkamah membabitkan Najib serta kejayaan kerajaan beliau membendung jangkitan COVID-19 dan perencanaan ekonomi bagi meringankan beban rakyat kesan pandemik itu.

Populariti Muhyiddin digunakan bagi menguatkan kuasa tawar-menawar BERSATU untuk menyertai MN. Sebagai tidak balas, UMNO bertindak mengukuhkan kedudukan dan memberikan keutamaan kepada MN yang mempunyai agenda lebih jelas melalui piagam bersama dibentuk, selain struktur organisasinya.

Selain itu, memperkukuhkan kerjasama melalui MN adalah lebih baik daripada menerima cadangan penggabungan antara UMNO dengan BERSATU yang tidak diterima sebahagian besar kepemimpinan utama UMNO itu sendiri.

Meskipun UMNO tidak lagi bersama PN, UMNO membenarkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO terus kekal bersama dalam kerajaan PN pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Apakah maksudnya ini? Sebenarnya secara teknikal atau tidak, secara langsung sebenarnya UMNO masih bersama PN. Kerajaan PN tidak jatuh seperti apabila BERSATU keluar daripada kerajaan PH bersama-sama sebahagian Ahli Parlimen dan ADUN BERASTU yang menyebabkan kerajaan PH jatuh.

Di sini, walaupun UMNO keluar, kerajaan PN terus dipertahankan dan semua Ahli Parlimen dan ADUN UMNO terus berperanan dalam kerajaan PN seperti biasa. Oleh itu, kerajaan PN terus boleh merancang agenda dasar yang ingin dilakukan, termasuk agenda pembentangan Belanjawan dan pemulihan ekonomi negara dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Kembali kepada persoalan mengapa MN dimantapkan, bukan PN? Sejak awalnya UMNO dan PAS memang membawa agenda MN. Kerjasama dalam MN ini berjaya membawa kepada banyak siri kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK).

Mereka mahu meneruskan momentum kemenangan itu hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Ketika PRK Chini, ada kerjasama erat antara UMNO dan PAS atas semangat MN membawa kepada kemenangan besar BN di Chini, meskipun jentera parti BERSATU juga turun membantu pada hari akhir tempoh berkempen di Chini.

Semangat ini dijangka akan diteruskan dalam PRK Slim yang akan datang. Mereka rasional melihat kerjasama dalam MN ini dapat menarik sokongan majoriti pengundi Melayu untuk terus menyokong mereka. Mereka juga faham penyertaan BERSATU akan memantapkan lagi kerjasama MN, selain dapat menyelesaikan banyak perkara seperti isu dasar bersama dan pencalonan untuk PRU-15 nanti.

Dengan penyertaan Muhyiddin dan parti beliau, bukan saja menambahkan kekuatan MN, bahkan menguatkan lagi agenda Melayu-Islam yang cuba dibawa UMNO dan PAS sebelum ini.

Hakikatnya, banyak siri perbincangan dan tawar-menawar akan dilakukan UMNO, PAS dan BERSATU bagi mencari titik persefahaman bagi merealisasikan agenda bersama melalui MN. Risikonya tetap ada sekiranya gagal dalam menyatakan persetujuan untuk bekerjasama.

Apa yang penting hasrat memperjuangkan rakyat, bukan saja Melayu-Islam, malah yang bukan Melayu dan bukan Islam juga boleh bersama-sama menyetujui kompromi politik ini yang bermatlamat untuk kebaikan bersama walaupun fokusnya masa ini bagi penyatuan ummah.

Pihak PH sudah pasti akan melihat perkembangan dalam gabungan PN dan MN ini dengan penuh minat, selain terus berstrategi bagi memastikan kekuatan berada di pihak mereka.

Adakah PRU-15 akan diadakan pada masa terdekat? Jawapan saya, tidak. PN atau MN mahupun PH memerlukan masa memantapkan kerjasama politik masing-masing. Kepada yang berhasil lebih cepat memeterai kerjasama, kelebihan terletak di pihak terbabit.

Sebenarnya, semua pihak masih memerlukan masa lagi untuk memantapkan kedudukan mereka secepat mungkin bagi menghadapi cabaran PRU-15 yang mendatang. Bagi rakyat, akan memerhatikan tindak tanduk politikus Malaysia ini. Siapa yang dapat meyakinkan rakyat Malaysia mengenai agenda dan matlamat politik yang ingin dibawa, pihak itulah yang akan memenangi PRU-15 nanti.

Buat masa ini, PN sebagai kerajaan peringkat Persekutuan mempunyai kelebihan merencanakan agenda rakyat untuk memenangkan gabungan berkenaan nanti. Namun, dinamik politik Malaysia selalu cepat berubah, sukar ingin dinyatakan sama ada PN akan wujud pada PRU-15 nanti. Buat masa ini, PN terus bertahan sebagai kerajaan walaupun UMNO sudah keluar dari gabungan itu.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X