Khamis, 26 November 2015 | 10:14am
HASIL rawatan yang di terima.

Ronnie lega single solonya diterima peminat


RONNIE menjalani sesi pelangsingan di Klinik Idealyst.

KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi yang melanda dirinya dengan bekas kumpulan Hyper Act, penyanyi Ronnie Hussein bersyukur single sulungnya berjudul Dikoyak Waktu mendapat sambutan sehingga tersenarai ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 30.

Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussien, 34, berkata beliau sama sekali tidak menyangka mampu bergerak solo selepas mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan berkenaan.

"Sejujurnya saya teragak-agak untuk bergerak solo kerana sudah biasa menyanyi secara berkumpulan. Alhamdulillah, keputusan yang dibuat membuahkan hasil yang membanggakan.

"Tidak sangka saya mampu berdikari dan single itu diterima dengan baik. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjalanan kerjaya saya. Doakan supaya lagu berkenaan mara ke peringkat seterusnya," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, salah seorang anggota Hyper Act iaitu Toi (pemain bass dan vokalis kedua) telah mengumumkan penyingkiran Ronnie secara rasmi melalui temuramah dengan sebuah radio.

Dalam perkembangan lain, Ronnie kini giat menguruskan badan bagi memastikan penampilannya sebagai penyanyi kemas dan rapi.

Beliau kini berjaya menurunkan enam kilogram (kg) dan menyasarkan untuk mencapai berat badan ideal.

"Saya berjaya menurunkan berat badan dari 95 kilogram kepada 88 kilogram. Sasaran saya mengurangkan tiga kilogram lagi dan mengekalkan berat badan itu. Bertubuh gempal menyukarkan saya untuk mendapatkan tajaan baju dan sebagainya.

"Selain itu, saya turut menjalani rawatan meruncingkan muka dan menguruskan badan di sebuah klinik. Saya baru menjalani tiga sesi rawatan namun berpuas hati dengan hasilnya. Saya berjaya mengurangkan dagu berlapis dan muka kelihatan lebih tirus.

"Kekangan masa menjadi punca utama saya tidak dapat untuk bersenam namun rawatan pelangsing itu membantu saya untuk mencapai sasaran dalam masa yang singkat. Malah, ia hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk kedua-dua bahagian muka," kata Ronnie.

Katanya, beliau turut mendapat tajaan produk pembakar lemak bagi membantunya menguruskan badan selain mengawal kuantiti hidangan yang diambil setiap hari dengan menitik beratkan pola pemakanan seimbang.

Berita Harian X