Khamis, 26 November 2015 | 1:01pm

Najib luang masa bertemu juara debat


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kiri) bertemu para pelajar yang memenangi pertandingan debat "Cambridge Intervarsity Debating". - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa bertemu dengan empat pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang menjuarai pertandingan debat tahunan antara Universiti Cambridge, baru-baru ini.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama mereka dalam pertemuan ringkas yang diadakan di bangunan Menara Parlimen, di sini.

Selain merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan mereka, Najib turut memberikan kata-kata semangat untuk mereka berusaha lebih gigih bagi menghadapi The World Universities Debating Championship (WUDC) yang akan diadakan pada hujung Disember di Thessaloniki, Greece.

Keempat-empat pendebat berkenaan, Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho dari UiTM dan Ameera Natasha Moore dan Sara Rahim dari UIAM ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, melahirkan rasa terharu dengan pengiktirafan dan galakan yang diterima dari Perdana Menteri.

Mohd Mifzal, 22, berkata Perdana Menteri telah memberikan galakan yang amat memberangsangkan untuk beliau terus berusaha serta galakan bekerjasama dengan komuniti 1Malaysia for Youth (1M4U) untuk meningkatkan kemahiran debat.

- BERNAMA

Berita Harian X