Khamis, 26 November 2015 | 4:00pm

Liga-M 2016: T-Team ambil 7 pemain Harimau Muda B

GAMBAR fail, aksi pemain pasukan T-Team, Sadriddin Abdullaev (tengah) diasak pemain pasukan Felda United, Fernandes Thigo Augusto (kiri) pada perlawan Piala Malaysia 2015. - Foto Aswadi Alias
GAMBAR fail, aksi pemain pasukan T-Team, Sadriddin Abdullaev (tengah) diasak pemain pasukan Felda United, Fernandes Thigo Augusto (kiri) pada perlawan Piala Malaysia 2015. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: T-Team akan mengambil tujuh pemain tempatan baharu dari skuad Harimau Muda B bagi memperkuatkan pasukan berstatus kelab itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata muka baharu itu terdiri daripada tiga anak Terengganu manakala selebihnya merupakan pemain dari negeri lain.

"Pemain-pemain ini baharu sahaja selesai mewakili negara dalam saingan Liga Singapura, dan satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai tanda pengesahan antara T-Team dengan pemain-pemain terbabit telah kita lakukan di Kuala Lumpur pada semalam," katanya di sini, hari ini.

Tahun 2015 adalah penampilan terakhir wakil Malaysia dalam saingan Liga Singapura berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak memperbaharui MoU yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2011 yang berakhir pada tahun ini.

Mohd Azhari berkata T-Team akan memohon kepada persatuan bola sepak negeri-negeri terbabit untuk melepaskan pemain berkenaan bermain untuk pasukan T-Team.

Justeru beliau berharap kehadiran pemain itu nanti akan memperkuatkan lagi pasukan T-Team dalam persediaan menghadapi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk perlawanan play-off bagi mengisi satu slot kelayakan ke dalam saingan Liga Super musim depan.

Kekosongan slot ini disebabkan Lions XII tidak lagi beraksi dalam Liga-M tahun depan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Azhari berkata dua pemain import T-Team yang baharu dari Mali iaitu Makan Konate dan Abdoulaye Youssouf Maiga dijadualkan tiba di sini pada 3 Disember ini.

Beliau berkata, dua pemain kebangsaan Mali berusia 24 dan 28 tahun itu masing-masing pernah beraksi dengan kelab Persib Bandung dan Sriwijaya dalam Liga Indonesia, dan sudah mengadakan MoU dengan T-Team semasa lawatan pegawai T-Team ke Indonesia pada minggu lalu.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X