Sabtu, 28 November 2015 | 12:00am
SUASANA restoran Tony Roma's di NU Sentral. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tony Roma's tawar menu lengkap dalam satu pesanan


RESTORAN Tony Roma's di NU Sentral. - Foto Zunnur Al Shafiq

SESEKALI tentu ada yang mempunyai keinginan untuk mengubah selera dengan menikmati makanan di restoran eksklusif.

Bagaimanapun, memilih makan di luar, khasnya di restoran eksklusif terkenal perlu bersedia dengan kemungkinan mengeluarkan belanja besar.

Tambahan pula kalau menunya memang bukan 'buatan tempatan'.

Menyedari hakikat masyarakat semakin berkira, restoran Tony Roma's menawarkan makanan pada harga berpatutan tanpa mengurangkan kualiti dan kuantitinya.

Antara yang disenaraikan dan menjadi pilihan ialah daging rusuk dan ayam panggang selain ikan salmon dimasak sempurna.

Lazimnya, hanya sejenis hidangan mampu dinikmati sesuatu masa. Kalau ingin lebih banyak sajian, perlu membuat pesanan tambahan yang pastinya lebih ' membocorkan' poket.


SET Tony's Fiesta Platter.

Dalam hal ini, Tony Roma's menyediakan kombinasi satu menu utama dan tiga gabungan menu pilihan anda pada satu harga menerusi kempen 'Tony's Fiesta Platter.

Kempen masuk kali ketiga bertujuan meraikan detik akhir serta permulaan tahun itu boleh dinikmati hari ini hingga 3 Januari 2016.

Ia menyajikan dua tulang rusuk daging lembu, suku bahagian ayam barbeku, salmon panggang, shrimp scampi (udang), dua filet medallions bersama tiga hidangan sampingan untuk tiga orang makan dengan hanya RM158.

Pengurus Pemasarannya, Johnny Pan, berkata sajian bersaiz besar berkenaan mampu menggalakkan pengunjung berkongsi hidangan.

"Ia dijamin mengenyangkan dan pada masa sama, pelanggan berpeluang menikmati kepelbagaian rasa," katanya.

Menyambut tahun ketiga kempen, Tony Roma's menyenaraikan salmon sebagai sebahagian daripada hidangan.


ANTARA hidangan istimewa restoran Tony Roma's di NU Sentral. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Bagi bukan penggemar daging, salmon pilihan alternatif untuk menjamu selera. Sajian lebih membuka selera dijamah bersama sos pedas manis yang juga membawa kesegaran rasa," katanya sambil mendakwa menu disajikan tersenarai dalam kategori makanan sihat kerana dimasak cara bakar dan panggang.

Untuk pencuci mulut, pelanggan disyorkan menikmati kek tiga serangkai atau dessert trio, yang menawarkan raspberi brownie royale, red velvet dan keju strawberi.

Melengkapi hidangan juga melenyapkan rasa dahaga, disediakan empat pilihan moktel iaitu Zesty Apple, Sweet Cherry, Cranberry Fizz dan Miami Breeze yang setiap satunya dijual dengan harga RM15.79

Kata Pan, Miami Breeze dan Cranberry Fizz mendapat sambutan cukup hangat kerana mempertaruhkan kombinasi rasa manis dan masam buah.

"Miami Breeze dihasilkan melalui gabungan jus nenas, halia, grenadine iaitu perisa sirap daripada buah delima, ceri dan soda limau nipis, manakala Cranberry Fizz adalah minuman cita rasa fusion daripada buah kranberi, epal, jus mangga yang dikisar sebati bersama soda limau nipis," ujarnya.

Selain giat mempromosikan set baharu itu, Tony Roma's kekal menawarkan hidangan harga berpatutan Tony's Timeout setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), bermula jam 3 petang hingga 6 petang.

Sejumlah 12 menu utama sedia menanti untuk dinikmati, seperti pasta ayam pedas, sandwic barbeku ayam, salad caesar ayam, ayam mojo dan sepinggan tenderloin ayam.

Dengan sedikit bayaran tambahan, pengunjung diberi pilihan untuk memesan sup istimewa harian atau minuman ringan yang disenaraikan dan boleh diisi semula.

23 dibaca
Berita Harian X