Sabtu, 28 November 2015 | 12:01am
ANTARA syarikat yang dipercayai memohon visa profesional tetapi membawa masuk pekerja asing tidak profesional.
LAPORAN BH Bongkar pada Selasa lalu.

Sektor pembinaan negara perlu 30,000 tenaga kerja


MALAYSIA ketika ini masih memerlukan kira-kira 30,000 tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam sektor pembinaan dengan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat tempatan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion, berkata situasi itu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan membawa masuk pekerja asing melalui sindiket, dengan menipu kelayakan.

Katanya, pemilik syarikat binaan berdepan kesukaran jika memohon tenaga asing melalui saluran sah kerana pada kebiasaannya jumlah pekerja yang diluluskan adalah lebih sedikit berbanding jumlah dimohon.

"Akibatnya, ada yang terpaksa menggunakan sindiket untuk membawa masuk. Bagaimanapun, isu ini tidak akan timbul jika ada badan pemantau tenaga kerja asing bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja dibawa masuk," katanya kepada BH.

BH Bongkar Selasa lalu mendedahkan lebih 20,000 warga Bangladesh yang tidak memenuhi syarat kemasukan dipercayai dibawa masuk sejak dua tahun lalu menggunakan pas pekerjaan (EP) bagi ekspatriat dengan butiran palsu.


PRESIDEN Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion. - Foto Mim Fadlizal Rozaiman

Kemasukan mereka diuruskan sindiket yang dipercayai mengenakan bayaran mencecah RM6,000 untuk setiap kemasukan warga asing terbabit atas nama ekspatriat.

Tukiman berkata, pihaknya juga bimbang penguasaan warga asing dalam sektor pembinaan bangunan dan arkitek semakin meningkat, sekali gus mengundang risiko dari segi keselamatan penghuni.

Berdasarkan aduan ahli persatuan, katanya, mereka tidak layak bekerja di bidang itu tetapi lulus masuk ke Malaysia kerana menggunakan sindiket EP bagi ekspatriat dengan butiran palsu.

Katanya, ini menyebabkan mereka tidak diterima bekerja secara sah di syarikat kontraktor dan binaan, seterusnya memaksa mereka bergerak bersendirian atau berkumpulan.

"Masyarakat pula cenderung memilih perkhidmatan warga asing kerana mereka menawarkan pakej harga lebih murah untuk kerja-kerja ubah suai kediaman berbanding arkitek dan kontraktor tempatan.

"Isunya, tenaga kerja asing tidak mempunyai kelayakan yang diiktiraf dan menggunakan bahan tidak kualiti, tidak ikut spesifikasi yang kemudian mendedahkan orang awam kepada risiko kemalangan," katanya.

Berita Harian X