Isnin, 30 November 2015 | 9:11pm
ATLET muda negara Badrul Hisyam Abdul Manap, 18, yang muncul Raja Pecut Sekolah ASEAN 2015 bersama kontinjen terdiri 64 atlet negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini. - Foto BERNAMA

Badrul Hisyam sesuai berlatih di SSTMI: Poad

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim memerlukan bantuan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menyediakan kepakaran sains sukan tambahan bagi membantu meningkatkan prestasi atlet pecut mereka.

Mohd Poad berkata, Raja Pecut Sekolah ASEAN, Badrul Hisyam Abdul Manap dan atlet pecut kuartet 4x100 meter yang lain iaitu Mohd Haiqal Hanafi, Asnawi Hashim dan Khairul Hafiz Jantan memerlukan kepakaran sains sukan tambahan untuk persediaan menghadapi kejohanan lebih tinggi.

"Saya rasa tempat paling sesuai latihan untuk Badrul dan yang lain-lain adalah di SSTMI. Memang tiada gangguan di sana. Kita ada pakar psikologi.

"Cuma saya minta ISN atau MSN menghantar kepakaran lain untuk membantu meningkatkan lagi prestasi bukan sahaja untuk Badrul malah ada tiga lagi atlet. Saya juga ada beberapa lagi atlet pelapis," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mohd Poad berkata jika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu mengekalkan Badrul Hisyam, Asnawi, Mohd Haiqal dan Khairul Hafiz dalam acara 4x100m, beliau yakin kuartet itu mampu meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kalau pihak persatuan (Kesatuan Olahraga Malaysia) dapat mengekalkan atlet ini untuk Sukan SEA, adalah lebih baik sebab untuk acara berganti-ganti mereka memerlukan persefahaman yang baik," katanya.

Mohd Poad berkata kejayaan seseorang atlet pecut itu bergantung kepada jenis latihan serta program yang disediakan mengikut daya ketahanan dan kemampuan atlet itu sendiri.

"Kejayaan mana-mana atlet olahraga bergantung kepada latihan yang diberikan. Saya melatih mereka sudah lama, saya tahu kemajuan dan keperluan mereka selepas ini.

"Seandainya saya melepaskan dia (Badrul Hisyam), jurulatih baharu itu tidak akan tahu kemajuan yang kita telah lakukan kepada atlet ini," katanya.

Namun, Mohd Poad berkata sekiranya ada jurulatih lain dapat melatih dan membimbing Badrul Hisyam untuk mengatasi catatan masa 10.29 saat, beliau sedia melepaskan anak buahnya itu demi masa depan atlet itu.

"Badrul sentiasa melepasi had masa yang saya tetapkan ketika latihan dan ketika di Brunei (Kejohanan Sekolah Sukan ASEAN), saya memang yakin beliau akan membuat sesuatu...," katanya.

Badrul Hisyam, 18, berjaya memecah rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan masa 10.29 saat, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod terdahulu milik Watson Nyambek.

-- BERNAMA

Berita Harian X