Rabu, 2 Disember 2015 | 3:18pm

PBSNT berunding dengan Mulvey


BEKAS ketua jurulatih dan penasihat teknikal Sabah, Mike Mulvey. - Sumber espnfc.com

KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengadakan rundingan dengan bekas ketua jurulatih dan penasihat teknikal Sabah, Mike Mulvey, hari ini.

Pengendali kelahiran Manchester, England itu dijangka tiba ke Terengganu untuk mengadakan perbincangan mengisi kekosongan penolong jurulatih merangkap penasihat teknikal skuad Penyu, musim depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman ketika majlis menandatangani kontrak tiga pemain baharu Terengganu di Bilik Rehat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong dan ketua jurulatih, Ahmad Yusof.

Arpin berkata, pengendali berusia 52 tahun itu pernah membimbing pasukan Sabah yang bersaing dalam saingan Liga Perdana.

"Mulvey dijangka tiba tengah hari ini dan akan mengadakan rundingan bersama beliau.

"Jika kedua pihak mencapai persetujuan, kita akan mengambilnya sebagai penasihat teknikal merangkap penolong jurulatih kepada Ahmad untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016," katanya.

Sebagai rekod, Mulvey menjadi penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun Australia tahun 2007 hingga 2009, Melbourne Victory (2012), Brisbane Roar FC (2012-2014) dan Sabah (2015).

Berita Harian X