Rabu, 2 Disember 2015 | 5:02pm

Seorang maut, 4 cedera bot penumpang dilanggar di Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Seorang maut, manakala empat cedera termasuk dua kanak-kanak selepas bot penumpang dinaiki mereka dilanggar sebuah bot lain di Jeti Lok Baru, Pulau Gaya, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Abd Wahid Juh, 27, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth 1(QEH1), manakala empat penumpang lelaki yang cedera termasuk dua parah berusia 10 hingga 30 tahun, menerima rawatan di hospital sama.

Difahamkan, ketika kejadian bot membawa 12 penumpang dari Kota Kinabalu itu singgah di Jeti Lok Baru, Pulau Gaya, sebelum tiba-tiba sebuah bot dari arah kiri melanggar bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata usaha mengesan pemilik bot dan suspek masih dijalankan.

"Polis menerima laporan daripada pemandu bot penumpang itu pada jam 10.20 malam dan siasatan mendapati pemandu bot mendakwa ketika berhenti di Jeti Lok Bar, sebuah bot lain dari arah kiri tiba-tiba melanggar botnya.

"Keadaan itu menyebabkan lima lelaki cedera termasuk seorang meninggal dunia. Usaha mengesan suspek yang melarikan diri dan meninggalkan botnya giat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan sebuah bot kayu berwarna merah tanpa nombor bot turut dirampas.

Berita Harian X