Rabu, 2 Disember 2015 | 5:46pm

Hukuman lebih berat terhadap ibu bapa dan penjaga yang cuai - Rohani

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selaku Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bercakap kepada media selepas melancarkan Laporan Bencana Dunia 2015 di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini akan memberi hukuman yang lebih berat kepada ibu bapa dan penjaga yang cuai dalam penjagaan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata kementerian memandang serius kes-kes kecuaian membabitkan penjagaan kanak-kanak dan kerana itu hukuman itu perlu dikuatkuasakan kelak untuk memberi pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Ini satu pencegahan supaya tidak berlaku lagi pengabaian dan penganiayaan kepada kanak-kanak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, jika rang pindaan itu diluluskan, hukuman denda serta penjara di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 itu akan dinaikkan dari denda RM20,000 kepada RM50,000 dan penjara dari 10 tahun kepada 20 tahun.

Rohani berkata selain perkara tersebut, pindaan itu juga akan memansuhkan hukuman sebatan kepada kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah yang sebelum ini diputuskan mahkamah.

Beliau berkata Perintah Khidmat Masyarakat turut diperkenalkan di dalam rang itu untuk dilaksanakan ke atas kanak-kanak yang melakukan jenayah, pesalah dewasa yang mendera atau mengabai kanak-kanak.

"Hukuman ini supaya pesalah boleh diberikan pemulihan atau rehabilitasi dengan melaksanakan atau melalui kerja komuniti, kaunseling dan program-program keinsafan dan keibubapaan," katanya.

Turut diberi perhatian dalam rang tersebut adalah penempatan kanak-kanak dalam penjagaan berasaskan keluarga bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan termasuk yang menjadi mangsa dera, terabai dan tidak terkawal.

Rohani berkata, pindaan itu jika diluluskan Parlimen, akan dikuatkuasakan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Rohani membentangkan Rang Undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 bertujuan untuk meminda Akta Kanak-kanak 2011 (Akta 611) terutamanya bertujuan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak. BERNAMA

Berita Harian X