Khamis, 3 Disember 2015 | 12:03am

Tanda insan miliki hati bersih

SOALAN: HATI adalah bahagian penting dalam menjana kemuliaan akhlak. Boleh ustaz jelaskan apakah tanda hati seseorang itu bersih dan apakah doa supaya hati kita sentiasa dilindungi Allah

Hati yang bersih memiliki tanda-tanda berikut:

Tidak mencintai dunia secara berlebihan sehingga lupakan akhirat.

Tidak tertipu dengan nikmat kelebihan yang ada pada diri.

Sentiasa bersedia meninggalkan dunia. Ali Abi Talib berkata: "Dunia itu akan pergi menjauh.

Sedangkan akhirat akan mendekat.

Dunia dan akhirat tersebut memiliki anak. Jadilah anak akhirat dan janganlah kalian menjadi anak dunia. Hari ini (di dunia) adalah hari beramal dan bukanlah hari perhitungan (hisab), sedangkan esok (di akhirat) adalah hari perhitungan (hisab) dan bukan hari beramal." (Riwayat Bukhari).

Sentiasa mencari reda Allah.

Sentiasa bersungguh-sungguh dalam menjauhi kemaksiatan. Allah berfirman dalam Surah al-'Ankabuut, ayat 69 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik."

Hati yang sangat perhatian terhadap kualiti amalan seperti keikhlasan amalan dan sebagainya.

Hati yang sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah.

Sebenarnya terdapat banyak doa yang diamalkan oleh para ulama dan kebanyakan doa-doa itu pernah dibaca oleh Baginda Nabi SAW antaranya yang bermaksud, "Ya Allah, kurniakanlah jiwa ku dengan ketakwaan dalam hati dan sucikanlah ia sebab Engkaulah satu-satunya yang bisa menyucikannya. Engkaulah penolong dan Tuhannya."

S: Bolehkah ustaz terangkan serba sedikit akhlak dan keperibadian Nabi SAW ketika berbicara? Saya dapati percakapan kita pada hari ini tidak melambangkan akhlak Islam.

Baginda SAW mempunyai gaya bicara yang sungguh indah. Kepetahan bicaranya tiada tandingan hingga menyebabkan sesiapa saja terpegun dan tertarik. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi pengiktirafan oleh sahabat yang dekat dengan Nabi SAW yang antaranya ialah Aisyah.

Baginda SAW dalam bicaranya tidak pernah berkata yang tidak baik apatah lagi menyakitkan hati orang. Lebih menarik lagi nada suaranya tenang dan tidak keras atau kasar. Baginda SAW tidak pernah mengumpat atau memaki sesiapa saja walaupun dia dihina dan zalimi.

(Abu Dawud) Dalam riwayat lain, Aisyah juga menyifatkan bahawa bicara Baginda SAW tidak terlalu cepat sehingga menyebabkan pendengar terpinga-pinga. Nabi Muhammad SAW akan berbicara dengan jelas dan tidak terburu-buru. Setiap katanya dapat ditangkap oleh pendengar dengan baik sehingga ada sahabat mampu menghafalnya.

Ada kalanya Baginda akan mengulangi perkataannya itu sehingga tiga kali agar mereka yang mendengarnya betul-betul. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Kharijah Zaid, Nabi SAW adalah seorang yang sangat tenang dalam menghadapi setiap situasi apatah lagi dalam berbicara.

Baginda lebih banyak berdiam daripada berkata kecuali jika terdapat keperluan dan kepentingan. Bicaranya juga terperinci, tidak berlebihan dan tidak singkat. Baginda SAW juga akan berpaling daripada golongan yang berbicara dengan cara yang tidak baik sebagai tanda protes.

Ketawa Baginda hanyalah senyuman. Inilah contoh seorang yang mempunyai budi pekerti yang tinggi dan dihormati. (Riwayat al-Tirmizi)

S: Apakah kaedah terbaik untuk saya berubah menjadi seorang yang berakhlak mulia?

Tahniah diucapkan kepada saudara kerana begitu bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berakhlak. Inilah tanda saudara telah mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk membawa perubahan dalam diri, insya-Allah.

Shikh Hasan Habannakah berpendapat, terdapat beberapa faktor yang mampu mendorong seseorang itu antaranya:

Memantapkan akidah dari semasa ke semasa. Ia dapat dilakukan menerusi pengawasan diri dan beriman bahawa setiap perilaku manusia akan diperhitungkan oleh Allah di akhirat kelak. Beruntung bagi mereka yang kuat imannya kerana ia pendorong utama kepada cantiknya akhlak luaran dan dalaman.

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dipelihara daripada akhlak buruk. Oleh sebab itu Nabi SAW selalu berdoa kepada Allah dengan doa berikut yang bermaksud: " Ya Allah, sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu daripada segala kemungkaran akhlak, amalan dan nafsu." (Riwayat al-Tirmidhi)

Usaha untuk menjadi baik dan berakhlak. Akidah dan doa saja tidak cukup untuk mengubah seseorang menjadi baik selagi ia tidak disusuli dengan usaha yang kuat. Oleh itu, berusaha melawan hawa nafsu sangat perlu kerana titik mulanya adalah di situ.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang boleh menjadikan mereka gembira serta beroleh keredaan), sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) daripada Allah itu akan bersama dengan orang-orang yang berusaha untuk memperbaiki amalannya."

Berita Harian X