Khamis, 3 Disember 2015 | 9:28am

Mulvey belum buat keputusan bimbing Terengganu


BEKAS pengendali bawah 20 tahun Australia, Mike Mulvey.

KUALA NERUS: Bekas pengendali bawah 20 tahun Australia, Mike Mulvey mahu mengkaji lebih dulu tawaran Terengganu untuk melantiknya sebagai penasihat teknikal merangkap penolong ketua jurulatih bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

 

Jurulatih kelahiran Manchester, England itu yang mendapat kerakyatan Australia berada di negeri ini semalam, sudah pun mengadakan perbincangan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT).

Selepas perbincangan itu Mulvey masih tidak menurunkan tandatangan pada dokumen kontrak, sebaliknya meminta PBNST memberinya masa memikirkan tawaran itu

Mulvey kemudian ke Kuala Lumpur dan dikatakan pulang ke Australia, hari ini.

   

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata Mulvey tidak asing dalam Liga M kerana pernah menjadi ketua jurulatih dan penasihat teknikal Sabah dalam saingan Liga Perdana.

   

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dan masih menunggu persetujuan Mulvey.

   

"Buat masa sekarang, Mulvey calon utama untuk mengisi kekosongan penolong ketua jurulatih merangkap penasihat teknikal," katanya.

   

Arpin berkata, beberapa pemain termasuk tonggak kebangsaan berada dalam radar skuad Penyu dan mereka akan ditawarkan kontrak untuk memperkuatkan skuad Penyu musim depan.

 

"Kita tidak boleh dedahkan nama pemain ini kerana sedang mewakili pasukan untuk menghadapi separuh akhir Piala Malaysia. Jika tidak berdepan masalah, pemain ini akan menyarung jersi Terengganu, musim depan," katanya.

Berita Harian X