Selasa, 7 Oktober 2014 | 6:18pm

Bos F1 tuntut siasatan dan laporan penuh insiden Bianchi

Pemandu Marussia, Jules Bianchi kini dalam keadaan kritikal di hospital di Jepun.

LONDON: Bos Formula Satu (FA), Jean Todt meminta laporan penuh berhubung insiden pelanggaran sehingga pemandu Marussia, Jules Bianchi kini dalam keadaan kritikal di hospital di Jepun untuk hari kedua sejak Ahad lalu.

Pengarah perlumbaan FIA, Charlie Whiting sedang mengumpul maklumat dan dia dijangka akan mengemukakan laporan penyiasatan berkenaan kepada Todt sebelum Grand Prix Russia, Ahad ini.

Jurucakap FIA berkata penyiasatan terperinci itu membabitkan memeriksa beberapa sumber untuk tujuan mengumpul maklumat sebelum laporan lengkap dan menyeluruh dapat dikemukakan kelak.

Ia bertujuan untuk memahami secara tepat kenapa kemalangan itu berlaku.

Bianchi, pemandu berusia 25 tahun dari Perancis yang mewakili pasukan berpangkalan di Britain itu masih kekal di unit kawalan rapi di Yokkaichi, Jepun selepas menjalani pembedahan ke atas kepala yang mengalami kecederaan serius.

Ini berikutan pelanggaran yang berlaku pada Grand Prix Jepun, Ahad lalu membabitkan jentera dipandu Bianchi dengan traktor pada babak-babak terakhir perlumbaan 53 pusingan itu di Litar Suzuka.

Kebetulan kenderaan berkenaan membantu pemandu Sauber, Adrian Sutil yang terbabas di litar pada pusingan terdahulu. - Mail Online

Berita Harian X