Khamis, 3 Disember 2015 | 4:09pm

Tiada layanan istimewa buat tonggak baharu Terengganu


Ahmad Yusof

KUALA TERENGGANU: Tiada layanan istimewa buat tiga pemain baharu Terengganu dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M), musim depan.  

Malah, Joseph Kalang Tie, Amirizdwan Taj Tajuddin dan Yong Kuong Yong perlu bekerja keras jika mahu berada dalam kesebelasan utama skuad Penyu.  

Ketua jurulatih Terengganu, Ahmad Yusof, berkata kehadiran tiga pemain Harimau Malaya itu diharapkan dapat memperkuatkan pasukannya musim depan.

Begitupun, pengendali berusia 55 tahun itu berkata mereka perlu bersaing dengan pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Kita tahu mereka hadir dengan status pemain kebangsaan, tetapi itu tidak bermakna mendapat tempat bermain secara automatik.

"Malah, mereka perlu bersaing dengan pemain sedia ada dan saya harap mereka menunjukkan persaingan sihat," katanya kepada BH Online, di sini, sebentar tadi.

Ahmad berkata, dia berharap Kalang Tie, Amirizdwan dan Yong dapat menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu pasukan musim depan.

Katanya, pasukannya kini sudah hampir lengkap, cuma sedang mencari pemain inport keempat sama ada di posisi pertahanan dan tengah.

"Kita akan adakan pemilihan pemain import pada 16 Disember dan saya harap dapat menemui pemain yang diidamkan itu," katanya.

Berita Harian X