Khamis, 3 Disember 2015 | 5:41pm

2 suspek tembakan di California dibunuh

KETUA Polis San Bernardino, Jarrod Burguan, mengesahkan kedua-dua suspek itu maut. - Foto REUTERS
KETUA Polis San Bernardino, Jarrod Burguan, mengesahkan kedua-dua suspek itu maut. - Foto REUTERS

SAN BERNARDINO: Polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek yang terbabit melepaskan tembakan sehingga menyebabkan 14 terbunuh dalam insiden di sebuah pusat khidmat sosial bagi golongan kelainan upaya di California, hari ini.

Polis mengenal pasti pasangan itu sebagai Syed Farook, seorang warga Amerika Syarikat, berusia 28 tahun serta Tashfeen Malik, 27, kewarganegaraannya tidak diketahui.

Bagaimanapun, pasangan itu yang tidak dapat dipastikan sama ada sudah berkahwin atau bertunang, terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis.

Ketua Polis San Bernardino, Jarrod Burguan, mengesahkan kedua-dua suspek itu maut, namun tidak dapat dipastikan individu ketiga yang ditahan ketika melarikan diri dari lokasi berhampiran tempat berbalas tembakan itu, mempunyai kaitan dengan jenayah terbabit atau tidak.

"Kami tidak mengetahui motif (serangan) ketika ini. Kami tidak menolak kemungkinan (motif) keganasan," katanya.

Burguan berkata, Farook adalah seorang pemeriksa alam sekitar yang sudah bekerja di Pejabat Kesihatan Daerah selama lima tahun.

Ia adalah kes tembakan rambang paling buruk sejak serangan di sekolah di Newtown, Connecticut, tiga tahun lalu yang meragut nyawa 26 kanak-kanak dan orang dewasa.

Insiden itu mengundang kemarahan daripada Presiden AS, Barack Obama, dan sekali lagi menggesa Kongres meluluskan langkah kawalan terhadap pemilikan senjata api bagi membendung keganasan bersenjata yang semakin merebak di AS. - AFP.

Berita Harian X