Khamis, 3 Disember 2015 | 6:20pm

Had umur Pengerusi JKKK, JKKKP sehingga 69 tahun - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak petang ini mengumumkan had umur bagi semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) diselaraskan sehingga usia 69 tahun.

Perdana Menteri berkata, ini adalah penambahan dua penggal lagi kepada had umur sedia ada iaitu 65 tahun, kecuali bagi mereka yang uzur.

"Saya juga sedar bahawa soal had umur jadi ketua kampung, ini ada banyak polemiknya, ada kata patut kekalkan, ada kata patut tambah ikut kelayakan seseorang.

"Pada saya ada dua pilihan. Saya mahu cadangkan umur 65 tahun ini kita tambah dua penggal lagi sampai umur 69, kecuali bagi mereka yang dah uzur. Saya harap selesai masalah di negeri tertentu, dengan keputusan ini harap selesai masalah ini," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seminar Pemantapan JKKK dan JKKKP Peringkat Kebangsaan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Dalam ucapan sama, Najib turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi insentif latihan kepada ketua kampung.

Najib berkata, peranan ketua kampung ketika ini boleh disifatkan begitu penting dan menyeluruh kerana mereka sebenarnya pemimpin akar umbi yang boleh menjadi tiang seri dalam menghubungkan antara rakyat dan kerajaan.

"Tuan puan pada hakikatnya adalah tiang seri kepada kerajaan pada hari ini, juga merupakan mereka yang menjadi penghubung dan pengantara kerajaan dan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

"Apa-apa mesej kerajaan kalau nak sampai kepada rakyat, tuan puanlah jadi penyambung. Kalau kerajaan nak rasa denyut nadi rakyat, tuan puanlah jadi lidah supaya kerajaan dapat rasa apa yang diperlukan rakyat," katanya.

Beliau turut berharap pemimpin di peringkat akar umbi ini tahu merancang dan melaksanakan sesuatu yang boleh membantu kerajaan.

"Ini termasuk menjadi pendaftar pengundi, berapa banyak pengundi baharu. Apakah kita sudah pastikan semua yang patut berdaftar sebagai pengundi di kampung kita sudah didaftar sebagai pengundi?" katanya.

18 dibaca
Berita Harian X