Jumaat, 4 Disember 2015 | 1:03pm
Sumber terengganufa.my/

Ada lagi pemain Harimau Malaya sertai Terengganu

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) semakin bernafsu besar memancing pemain untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim 2016.

Terbaharu, persatuan berkenaan sedang berusaha membawa seorang lagi pemain kebangsaan ke dalam skuad Penyu.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, mengesahkan sendiri perkembangan itu.

Namun begitu, dia enggan mendedahkan lebih lanjut butirannya.

Katanya, pihaknya tidak boleh dedahkan nama pemain yang juga tonggak Harimau Malaya itu kerana sedang membantu pasukannya dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.

"Apa yang boleh saya katakan, rundingan dengan pemain itu sudah diadakan dan jika tidak ada masalah, pemain ini akan menyertai Terengganu, musim depan.

"Malah, kita tidak mengganggu pemain ini yang sedang berjuang membantu pasukannya layak ke final Piala Malaysia," katanya.

Rabu lalu, PBSNT berjaya mengikat tiga pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie dari Sarawak; pertahanan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin dan pertahanan Pulau Pinang, Yong Kuong Yong.

Mereka menyertai skuad Penyu dengan masing-masing menandatangani kontrak selama setahun.

Berita Harian X