Jumaat, 4 Disember 2015 | 7:22pm

Rumah tangga Fasha bergolak?


PELAKON, Fasha Sandha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Rumah tangga pelakon terkenal, Fasha Sandha, dikatakan sedang bergolak sehingga mengheret beliau ke mahkamah ekoran keadaan itu.

Perkara berkenaan didedahkan sebuah portal berita yang mendakwa, keretakan rumah tangga aktres itu berpunca daripada campur tangan pihak ketiga.

Memetik sumber terdekat kepada pelakon drama bersiri, Selamat Pengantin Madu itu, laporan berkenaan turut memberitahu Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 31, dikatakan dilihat mengunjungi sebuah pejabat agama, baru-baru ini.

BH Online bagaimanapun gagal menghubungi aktres yang juga isteri kepada ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai, 39, apabila beliau mematikan telefon bimbitnya.

Usaha menghubungi beberapa individu terdekat dengan ibu kepada dua anak itu juga tidak berhasil.

Perkara berkenaan turut dikaitkan dengan pelakon, Nora Danish, yang juga bekas isteri Rizal, berdasarkan beberapa komen dan gambar dimuat naik di laman sosial Instagram. Namun, komen dan gambar berkenaan sudah pun dipadamkan oleh Fasha.

Menerusi pemerhatian ke atas akaun Instagram milik Fasha, BH Online mendapati beberapa gambar dimuat naik oleh bintang filem Anak Halal itu bagai meninggalkan tanda tanya, antaranya keterangan sekeping gambar seorang pendakwah terkenal yang berbunyi, "Semoga Allah memberikan kekuatan yang sepenuhnya buat saya dan anak-anak untuk mengharungi segala-galanya."

Sebuah gambar lain yang menyaksikan dirinya bersama dua anak beliau berserta catatan, "Infiniti. Ibu, Rayfal dan Raysha", turut dimuat naik pelakon terbabit.

Fasha dan Rizal berkahwin pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 2 tahun, serta Putri Raysha Jemyma, setahun.

Sebelum itu, Jejai pernah berkahwin dengan Nora pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 10 Julai 2008. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dianugerahkan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, yang kini berusia tujuh tahun.

Berita Harian X