Isnin, 7 Disember 2015 | 12:04am
SUASANA pendakian di hari pertama pendakian di laluan baharu dinamakan Jalan Ranau menuju ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
SUASANA matahari terbit dari puncak Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan
PEMANDANGAN indah yang menanti pendaki di Jalan Ranau. - Foto Lano Lan

Kinabalu kembali bertamu


ENAM bulan lamanya puncak Gunung Kinabalu sepi daripada sebarang aktiviti pendakian susulan gempa bumi bermagnitud 5.9 yang mengorbankan 18 nyawa pada pagi 5 Jun lalu.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri khususnya menerusi Taman-Taman Sabah bekerja sepanjang masa bersama malim gunung, renjer serta penduduk setempat bagi membaik pulih serta membangunkan semula Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

Tragedi hitam 5 Jun lalu mengakibatkan ramai pelancong trauma untuk mendaki Gunung Kinabalu terutama dari Singapura, memandangkan sebahagian besar korban gempa bumi itu adalah murid dari Katong Primary School yang menyertai ekspedisi mendaki di gunung berkenaan.

Ia diakui oleh seorang pendaki veteran berusia 66 tahun dari Singapura, Hoong Ah Sin yang menjadi antara kumpulan pertama 135 pendaki ke puncak Gunung Kinabalu ketika ia dibuka semula menggunakan laluan baharu pada 1 Disember lalu. Dia mengakui, ramai rakyat Singapura trauma serta bimbang untuk mendaki puncak Gunung Kinabalu susulan tragedi gempa bumi lalu.


KERJA membuat laluan baharu yang dikenali Jalan Ranau untuk menuju puncak Gunung Kinabalu.

Namun, perasaan bimbang itu tidak langsung bermain di fikiran Ah Sin, sebaliknya teruja untuk mendaki semula Gunung Kinabalu selepas kali pertama melakukannya pada 1990 kerana yakin pengurusan Taman-Taman Sabah sudah memberi perhatian sewajarnya terhadap aspek keselamatan.

Bagi Ah Sin, adalah sesuatu yang merugikan untuk melepaskan peluang mendaki Gunung Kinabalu yang dianggapnya sangat cantik dan indah.

Benar, berdasarkan pengalaman penulis, mendaki ke puncak Gunung Kinabalu menggunakan laluan baharu dari Panalaban iaitu selepas ketinggian 3,658 meter yang dinamakan Jalan Ranau, Taman-Taman Sabah amat menitikberatkan keselamatan pendaki.

Sepanjang pendakian ke puncak pada 1 Disember lalu itu, lapan malim gunung mengiringi kumpulan pendaki dengan perhatian khusus diberikan terhadap beberapa laluan dikenal pasti berisiko tinggi atau dipanggil zon bahaya.

Ada papan tanda peringatan dipasang di laluan baharu dan paling ketara ialah kehadiran Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang ditubuhkan selepas gempa bumi di beberapa lokasi strategik untuk memberi bantuan jika diperlukan.


LALUAN baharu disediakan ke puncak berikutan tragedi gempa bumi yang memusnahkan laluan sedia ada.


ASPEK keselamatan dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan pendaki dan malim gunung.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi, berkata usaha sudah dilakukan oleh Taman-Taman Sabah serta malim gunung bagi menyediakan kemudahan serta tahap keselamatan terbaik kepada pendaki sepanjang berada di Gunung Kinabalu.

Katanya, malim gunung serta anggota MOSAR sudah diberi latihan khusus bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan.

"Saya mengharapkan tiada lagi sebarang insiden tidak diingini berlaku. Peristiwa hitam gempa bumi beberapa bulan lalu masih diingati sebahagian besar malim gunung, malah ada yang masih trauma sehingga sekarang," katanya.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais, berkata kerja pemulihan laluan ke puncak Gunung Kinabalu termasuk pembinaan jalan baharu dirancang sejak beberapa bulan lalu dengan teliti serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta pakar.

"Saya berpuas hati dengan laluan baharu berkenaan kerana sebelum ia dibuka semula kepada orang ramai, saya sendiri sudah mendakinya sebanyak enam kali termasuk pada beberapa hari lalu untuk melihat sendiri persediaan trail. Kita juga amat menitikberatkan aspek keselamatan kepada semua pendaki serta malim gunung," katanya.

Sementara itu, pendaki solo negara yang menawan puncak Everest pada tahun 2006, T Ravichandran, ketika ditemui pada pembukaan semula laluan ke puncak Gunung Kinabalu, memuji usaha Taman-Taman Sabah dengan kerjasama malim gunung bagi meningkatkan tahap keselamatan kepada pendaki.


PENDAKI menghampiri kawasan Rockface, di mana bermulanya laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan


SEBAHAGIAN pemandangan di kawasan laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan

Beliau juga sudah tiga kali mendaki Gunung Kinabalu bersama pengurusan Taman-Taman Sabah serta malim gunung sejak aktiviti pendakian ditutup akibat gempa bumi bagi menilai laluan baharu serta tahap keselamatannya.

"Selepas meninjau semua persiapan serta langkah keselamatan yang diambil oleh pengurusan Taman-Taman Sabah, bagi saya kita telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku lagi gegaran pada masa akan datang.

"Bukanlah kita meminta berlaku lagi bencana, sebaliknya jika berulang kita sudah lebih bersedia. Ini terutamanya pada malim gunung yang saya dapat lihat lebih yakin dan bersedia, termasuk dilengkapkan dengan peralatan komunikasi serta latihan secukupnya untuk memberi respons awal jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya melihat perubahan ketara dalam aktiviti pendakian kali ini, ia mungkin berganda berbanding tahap keselamatan sebelum gempa bumi. Malah, ada juga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membantu selain malim berada di lokasi tertentu untuk memantau aktiviti pendakian," katanya.

Ravichandran juga menyarankan supaya pihak Taman-Taman Sabah menyediakan ruang rehat di laluan baharu di Jalan Ranau kerana kawasan terbabit berlaku kesesakan ketika pendaki turun semula dari puncak kerana ramai yang berhenti untuk menyaksikan pemandangan yang cukup indah.

"Di laluan baharu itu pemandangannya sangat cantik terutama ketika turun. Jadi di situ berlaku kesesakan apabila ramai yang berhenti mengambil gambar, jadi saya sarankan kita buat tempat untuk berehat bagi membolehkan pendaki menikmati keindahan panorama di situ sambil mengambil gambar.


SEBAHAGIAN pendaki melalui laluan baharu menuju ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto Lano Lan


SEORANG pendaki menggunakan menggunakan tangga dari Laban Rata ke Sayat-Sayat.

"Selain itu, saya juga melihat laluan baharu terbabit dibina di lokasi kurang berisiko terkena runtuhan struktur batuan jika berlaku gegaran. Pada masa sama, saya difahamkan satu lokasi pendaratan helikopter akan dibina berhampiran Sayat-Sayat dan ia mampu memberi bantuan segera melalui udara pada situasi kecemasan," katanya.

Malim gunung berasal dari Kota Marudu, Anddy Majawal, 35, bersyukur kerana pembukaan semula aktiviti pendakian hingga ke puncak membolehkannya kembali mencari rezeki dengan membawa pendaki selepas hampir enam bulan bekerja sambilan sebagai penanam sayur di Kundasang.

Dia juga teruja untuk mencuba laluan baharu ke puncak buat pertama kali kerana sebelum ini tidak terbabit dalam kerja membaik pulih serta pembinaan Jalan Ranau.

"Saya begitu bersemangat untuk kembali membawa pendaki ke puncak. Kami sudah diberikan penerangan serta latihan bagi membantu jika berlaku sebarang kecemasan. Bagi saya, laluan baharu ini begitu mencabar dan mereka yang tidak biasa pasti berasa cepat penat, namun pendakian berbaloi kerana pemandangannya cukup cantik," katanya.

Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter pada 5 Jun lalu mengorbankan 18 orang di Gunung Kinabalu membabitkan 14 pendaki dan empat malim gunung.


KEINDAHAN suasana matahari terbit. - Foto Lano Lan

INFO

Laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu

  • Dinamakan Jalan Ranau
  • Dibuka secara rasmi kepada aktiviti pendakian pada 1 Disember 2015
  • Panjang Jalan Ranau 1.8 kilometer
  • 135 kumpulan pendaki pertama menggunakan laluan itu pada 1 Disember
41 dibaca
Berita Harian X