Isnin, 7 Disember 2015 | 7:03am

Status Kedah harus dihormati

PEMAIN pasukan Kedah, Sandra Da Silva (kanan) berebut bola dengan pemain FELDA United FC, Zah Rahan Krangar dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darulaman, malam tadi. - Foto Amran Hamid
PEMAIN pasukan Kedah, Sandra Da Silva (kanan) berebut bola dengan pemain FELDA United FC, Zah Rahan Krangar dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darulaman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kedah membuktikan status pasukan dari Liga Perdana bukan penghalang untuk mereka mengatasi saingan pasukan dari Liga Super selepas mara ke final Piala Malaysia musim ini.

Kejayaan menumpaskan FELDA United 2-1 pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi dilihat hasil kerjasama dan semangat juang yang tinggi antara semua pemain Helang Merah.

Malah, sentuhan Baddrol Bakhtiar yang ditagih jurulatihnya, Ramon Marcote Peque sebelum ini jelas tepat apabila pemain kebangsaan itu menjadi punca kepada gerakan Kedah mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-44 menerusi Chidi Edeh.

Apa yang pasti, ulangan final Piala Malaysia 2008 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, yang mana Kedah akan menentang Selangor, pasti menjadi perlawanan yang sangat dinantikan seluruh peminat bola sepak tempatan.

Persembahan terbaik yang dipamerkan ketika berdepan FELDA United, malam tadi seharusnya dikekalkan Kedah jika mereka mahu membawa kembali piala paling berprestij itu ke negeri itu.

Bagi FELDA United pula, kegagalan layak ke final buat kali kedua berturut-turut pasti perkara paling mengecewakan, terutama jurulatih Irfan Bakti Abu Salim, yang meletakkan harapan tinggi sebelum ini.

Kad merah yang diterima Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-61 tidak boleh dijadikan alasan utama kekalahan mereka kerana ketika itu pun mereka sudah ketinggalan 2-1 kepada Kedah.

Mungkin ini bukan musim terbaik buat FELDA United dan usaha memantapkan lagi pasukan harus direncanakan Irfan untuk menghadapi musim depan.

Berita Harian X