Isnin, 7 Disember 2015 | 1:11pm

MPPD gantung permit pesta ria susulan buaian tumbang

ANGGOTA polis memeriksa buaian besar yang tumbang di tapak pesta ria di Port Dickson.

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menggantung permit penganjuran pesta ria di PD Waterfront, berkuat kuasa serta merta, berikutan kejadian buaian besar tumbang malam tadi.

Yang Dipertua MPPD, Datuk Ab Khalid Mat, berkata tempoh penggantungan itu adalah sehingga pihaknya mendapat laporan lengkap mengenai kejadian itu dan keselamatan keseluruhan di tapak pesta ria itu.

Katanya, penganjur berkenaan memang mempunyai permit yang sah dan biasa mengadakan pesta ria di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha, berkata dua mangsa yang cedera ringan, Abdul Rahim Mohd, 35, dan Nor Aminurashid Nurisham, 17, dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, pagi ini.

Katanya, seorang lagi mangsa, Hawaliana Kamal Bashah, 21, patah tulang paha kiri.

Semua mangsa dihantar ke HPD selepas kejadian itu, tetapi dua mangsa dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Baharudin berkata, pasukan polis juga dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat dengan lebih terperinci kejadian itu dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Selain anggota polis, tinjauan BH mendapati kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga membuat pemeriksaan di tapak pesta ria itu.

Berita Harian X