Selasa, 8 Disember 2015 | 12:12am
FILEM cereka sains, Star Wars diadaptasi dalam rekaan busana.

Aura fesyen Star Wars


FILEM cereka sains, Star Wars, arahan pengarah terkenal, George Lucas, bukan sekadar filem apabila kini ia diadaptasi pula dalam rekaan busana.

Siri filem yang bermula pada tahun 1997, sebenarnya dari awal sudah menjadi sebuah fenomena dengan menghasilkan banyak koleksi untuk dikumpul seperti buku, permainan, siri televisyen dan cenderahati.

Kini, keindahan nilai estetika filem ini mencuri perhatian pereka fesyen dunia dan tempiasnya turut mengujakan pereka fesyen di negara ini.

Justeru, pada Minggu Fesyen Malaysia 2015 (MFW 2015), pertunjukan fesyen bertaraf antarabangsa memukau perhatian umum dengan inspirasi fesyen berjudul The Galaxy Runway Inspired by Star Wars, bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC).

Gabungan nama pereka besar seperti Datin Lynda Rahim, Bremen Wong, Azura Mazaruddin dan Nawre, memberi 'nyawa' kepada suntikan gaya fesyen Star Wars berkenaan.

Percubaan mengadaptasi rekaan fesyen bagi beberapa watak antagonis dan protagonis Star Wars menerusi pentas fesyen Star Wars begitu menjadi.


BREMEN Wong bersama-sama model memperagakan koleksi rekaannya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Suasana penuh futuristik, sains, abstrak dan kreativiti memenuhi sesi pertunjukan pentas ditawarkan barisan pereka fesyen kreatif dan inovatif ini.

Jika diperhatikan, mainan warna malap, suci dan gelap menjadi daya tarikan serta suntikan pada hamparan fabrik digunakan.

Hitam, putih dan kelabu antara variasi warna yang mendominasi serta menghidupkan fesyen Star Wars, julung kali diadakan ini.

Walaupun imej Star Wars itu lebih mencerminkan sesuatu yang futuristik, fesyen ditampilkan pereka negara ini rata-rata praktikal dan boleh digayakan di pelbagai majlis.

Ia tidak hanya sekadar boneka fesyen kerana sentuhan dibawakan lebih kepada fesyen gaya ranggi, feminin, ala puteri dan imej luar biasa yang mengagumkan.

Pereka tempatan, Bremen Wong, antara yang ke hadapan mencuri tumpuan penggemar fesyen eksotik ini.


KARYA kreatif dan lari daripada kebiasaan sentuhan Bremen. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pereka muda dari Sabah ini, sebelum ini memang sudah biasa melahirkan karya kreatif dan lari daripada kebiasaan menerusi rekaan anggun.

Justeru, tidak hairanlah persembahan pentas menerusi lebih daripada 10 koleksi fesyen Star Wars, beliau mendapat reaksi positif kerana membawakan fesyen baharu Star Wars.

Rekaannya tidak terlalu berlebihan, tanpa mengabaikan suntikan futuristik dalam helaian fabriknya.

Menaikkan imej fesyen moden, keutamaan diberikan dengan mengangkat watak Padme' Amidala.

Kata beliau, Padme' Amidala digambarkan dalam fiksyen itu sebagai wanita cantik dan anggun yang kemudiannya mengambil tanggungjawab penuh dengan kesungguhan dan kewibawaan.


KOLEKSI rekaan awre menggunakan warna tanah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Watak ini penuh kegigihan dan matlamat. Beliau setia tetapi cuba dimusnahkan makhluk galaksi. Zaman kanak-kanak dan remaja dikorbankan untuk berkhidmat kepada generasinya," katanya.

Lantaran, imej berani dan pejuang watak ini memberi idea kepada untuk mencipta sesuatu yang berkaitan dengan watak ini.

Beliau berkata, koleksi lima topi rekaannya simbolik kepada sifat berani, gagah dan pesona puteri berkenaan.

Bagi Lynda, beliau mencari kelainan dengan melahirkan karya kreatif dan luar daripada kotak pemikiran beliau.

Buktinya, inspirasi watak Stormtrooper antara watak antagonis popular dalam siri Star Wars berjaya memberi emosi kepada fabrik dan rekaannya.


KEINDAHAN nilai estetika filem Star Wars curi perhatian pereka. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Melihat penampilan model menggayakan koleksi rekaan beliau, sememangnya ia ada aura tersendiri.

Lynda berkata, watak itu dipilih kerana mahu mentafsirkan sesuatu karya fesyen dalam sudut berbeza iaitu lebih feminin.

"Cuma lebih kurang dua minggu saya menyiapkan koleksi ini, termasuk aksesori pelengkap gaya.

"Warna dari watak itu sendiri diambil iaitu putih dan hitam, manakala rona biru lembut menyuntik aura feminin kepada watak antagonis berkenaan," katanya yang menampilkan 10 rekaan.

Jelasnya, adaptasi daripada watak antagonis terbabit berjaya melahirkan helaian sedia dipakai, yang lebih mesra pemakai dengan cuaca di negara ini.

Berita Harian X