Selasa, 8 Disember 2015 | 1:17pm

PBT perlu pastikan penganjur pesta ria dapat kelulusan

ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi kejadian, semalam. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

PORT DICKSON: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, termasuk Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) perlu memastikan penganjur pesta ria mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum diberikan permit untuk beroperasi.

Ketua Penolong Pengarah JKKP negeri, Norlinda Nasidin, berkata pihaknya menghantar surat berhubung perkara itu bagi mengelakkan kejadian buaian pusing gergasi tumbang yang berlaku di sini, malam kelmarin, berulang pada masa depan.

Katanya, Akta Kilang dan Jentera 1967 mensyaratkan jentera yang digunakan bagi tujuan hiburan, termasuk di pesta ria perlu mendapat kelulusan jabatan itu bagi memastikannya memenuhi piawaian dan selamat digunakan.

"Kita tidak tahu mengapa PBT tidak menjadikan kelulusan JKKP sebagai syarat kelulusan permit penganjuran pesta ria sebelum ini, namun berharap perkara seperti ini tidak berulang," katanya selepas melawat lokasi kejadian di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, seorang wanita berusia 21 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 17 tahun, cedera apabila buaian terbabit tumbang, dipercayai berpunca akibat kegagalan struktur bawah platform buaian itu.

Norlinda berkata, sepasukan pegawai Bahagian Kejuruteraan Forensik dari ibu pejabat JKKP datang membuat pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian pagi tadi dan laporan mengenainya akan diperoleh dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Berita Harian X