Rabu, 9 Disember 2015 | 11:38am

V Shem-Wee Kiong harap Terbuka AS cetus semangat baharu


PASANGAN beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menganggap saingan Grand Prix (GP) Terbuka Amerika Syarikat sebagai permulaan baharu buat mereka selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tahun ini.

V Shem-Wee Kiong yang mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Phillip Chew-Sattawat Pongnairat 21-12, 21-12 dalam aksi pusingan pertama di Kelab Badminton Orange County, sebentar tadi bertekad untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

"Ya, kami anggap kejohanan ini sebagai permulaan baharu buat kami. Kami mahu melupakan kekecewaan sebelum ini dan fokus ke depan kerana kami ada misi penting iaitu layak ke Sukan Olimpik (di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan).

"Apa pun, perjalanan kami masih panjang dalam kejohanan ini, kami mahu fokus satu demi satu perlawanan," kata V Shem yang menyifatkan perlawanan sebentar tadi tidak sukar buat mereka tetapi gembira kerana sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Beregu yang digandingkan sejak Piala Thomas tahun lalu itu bergelut dengan prestasi tidak menentu sehingga menyaksikan mereka tersingkir di pusingan awal dalam lima kejohanan sebelum ini - Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Jerman, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.

Pada aksi pusingan kedua awal pagi esok, V Shem-Wee Kiong menentang gandingan Mexico, Job Castillo-Lino Munoz dalam perebutan tiket ke suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Kenta Kazuno-Ayane Kurihara 21-18, 21-18 dan akan bertemu Fran Kurniawan-Komala Dewi dari Indonesia untuk memburu tempat ke kelompok lapan terbaik.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa perseorangan lelaki profesional negara, Zulfadli Zulkifli apabila tersingkir di pusingan kedua susulan kekalahan kepada Emil Holst dari Denmark, 16-21, 21-5, 19-21.

Berita Harian X