Rabu, 9 Disember 2015 | 4:12pm

Pelajar maut motosikal ditunggangi terbabas

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar sebuah kolej kemahiran di Marang maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas di Jalan Tengku Mizan, sebelum Jambatan Sultan Mahmud, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, mangsa, Abdul Wafi Mohamad, 18, dikatakan menunggang seorang diri dari arah Perpustakaan Awam Negeri Terengganu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Batin, Seberang Takir.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa terbabas dan menghentam pokok di tengah pembahagi jalan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat serta jalan basah dan mangsa dikatakan terjatuh berhampiran pokok itu, manakala motosikal terseret beberapa meter di atas jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebaik pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba untuk memberi bantuan kecemasan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk bedah siasat dan punca kematian dipercayai akibat cedera parah pada anggota badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

"Kita ada menerima laporan berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X