Rabu, 9 Disember 2015 | 4:54pm

Hafiz bantu negara capai sasaran Sukan Para ASEAN


ATLET lempar cakera F35/36/37 negara, pingat emas Muhammad Hafiz Abu Bakar (tengah), pingat perak Zakaria Saad (kiri) dan pingat gangsa, Thomson Lim Kok Hong (kanan) meraikan kejayaan mereka pada temasya Sukan Para ASEAN Kelapan. - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-8 di sini mencapai sasaran untuk membawa pulang lebih dari 50 pingat emas selepas meraih emas dalam acara lontar cakera F35/36/37.

Pingat yang paling dinanti-nantikan kontinjen negara itu disumbangkan oleh Mohammad Hafiz Abu Bakar yang mencatat lontaran 33.69 meter di Stadium Nasional.

Malaysia mendominasi acara itu apabila turut meraih perak dan gangsa menerusi Zakaria Saad dan Thomson Lim Kok Hong yang masing-masing melakukan lontaran sejauh 31.60 meter dan 28.51 meter.

"Sebenarnya saya tak sangka akan menyumbang emas yang ke-51 buat kontinjen negara dan saya sangat gembira untuk meraih emas yang paling istimewa ini. Lempar cakera adalah acara kesukaan saya, jadi ia memang istimewa untuk menang hari ini.

"Dari mula saya jangka sasaran 51 emas itu boleh dicapai kerana komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua atlet Malaysia memang tinggi.

"Saya berterima kasih kepada rakan, jurulatih dan semua pegawai yang membantu saya merealisasikan emas yang ke-51," katanya kepada Bernama.

Ini sumbangan pingat emas yang kedua bagi petani berusia 32 tahun ini selepas meraih emas dalam acara lontar peluru, namun berpuas hati dengan sekadar menduduki tempat keempat dalam acara merejam lembing.

Dia turut memenangi tiga emas dalam acara merejam lembing, lontar peluru dan lontar cakera pada edisi APG di Myanmar tahun lalu selain dua emas dalam acara lempar cakera dan lontar peluru di Kuala Lumpur pada 2009.

Emas terakhir dari acara olahraga disumbangkan Muhamad Nurdin Ibrahim dalam acara 1,500m T20 (masalah pembelajaran) dengan kelas tersendiri selepas mencipta rekod kejohanan baharu dengan melintasi garisan penamat dalam masa 4:25.83 saat.

Dalam acara lontar peluru lelaki F33/34, Davis Machang gagal menyumbangkan emas ke-28 negara selepas mencatatkan balingan sejauh 6.58 meter untuk berpuas hati dengan perak sekali gus impian kontinjen olahraga untuk mencapai 28 emas tidak kesampaian.

Olahraga menjadi penyumbang terbesar pingat bagi kontinjen negara apabila berjaya menyumbangkan 27 emas, 18 perak dan lapan gangsa dalam kejohanan selama tujuh hari untuk atlet kelainan upaya itu.

Ketua jurulatih skuad olahraga Malaysia, R. Jaganathan berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya walaupun sebutir emas tersasar daripada jangkaannya.

"Selepas datang ke sini kita mendapati bahawa negara-negara lain sudah sangat maju lalu pertandingan menjadi sangat sengit. Namun saya sangat gembira dengan pencapaian di sini.

"Lapan rekod kejohanan dan dua rekod Asia dipecahkan serta satu lain menyamakan rekod Asia. Saya mengakui bahawa kami mempunyai kelemahan, tetapi kita akan terus membuat kajian dan bekerja keras untuk menjadi johan keseluruhan pada 2017 nanti," katanya. -- BERNAMA

Berita Harian X