Khamis, 10 Disember 2015 | 8:00am

Sukar jinakkan Selangor: Chidi

 PENYERANG import Kedah, Chidi Edeh. - Foto Shahrizal Md Noor
PENYERANG import Kedah, Chidi Edeh. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Aksi final Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini memberi 1,001 makna buat penyerang import Kedah, Chidi Edeh yang pernah mengecewakan lawan itu dua tahun lalu.

Chidi dua kali berjaya menggegar gawang Selangor pada aksi Piala AFC 2013 ketika menjulang bekas kelabnya, East Bengal yang menang 1-0 di tempat sendiri, sebelum terikat 2-2 di Shah Alam.

Namun, penyerang dari Nigeria itu tidak mahu terlalu dibuai mimpi kerana sedar Red Giants kali ini nyata begitu berbeza berbanding sebelumnya.

"Selangor dua tahun lalu cukup berbeza dengan apa yang mereka ada sekarang. Saya lihat mereka sebagai lawan yang sukar dijinakkan kerana dibarisi pemain import dan tempatan yang berkualiti.

"Kita sudah menang Liga Perdana dan kini fokus saya adalah Piala Malaysia. Saya begitu mahukan piala ini. Saya harap kami dapat memenangi perlawanan dan berada dalam keadaan terbaik untuk bantu pasukan," katanya.

Pastinya seluruh peminat Helang Merah mengimpikan mahkota kejuaraan kelima buat Kedah kali ini dan Chidi sendiri akur betapa kejuaraan begitu penting buat perjalanan kariernya.

Chidi berkata semua pemain dan pasukan menggunakan peluang ini untuk menonjolkan diri, begitu juga dirinya ketika misi menjulang dua trofi pada penampilan sulung di Malaysia.

"Saya menikmati detik ini. Segala-galanya berjalan dengan baik dan saya fikir orang lain juga sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir.

"Ia pasti menjanjikan perlawanan yang hebat. Hanya satu perlawanan lagi dan saya sendiri akan cuba lakukan sesuatu buat pasukan," katanya.

Berita Harian X