X
Khamis, 10 Disember 2015 | 10:44am

Polis tahan lelaki jual senapang patah

KETUA Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim (tengah) bersama anggota JSJ IPD Yan melihat senapang patah buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan Ops Cantas ketika sidang media di IPD Yan. - Foto NSTP
KETUA Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim (tengah) bersama anggota JSJ IPD Yan melihat senapang patah buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan Ops Cantas ketika sidang media di IPD Yan. - Foto NSTP

YAN: Polis daerah ini menahan seorang lelaki warga emas yang disyaki terbabit dalam pembuatan dan penjualan senjata api jenis senapang patah buatan sendiri di rumahnya di Kampung Teroi Bukit, dekat sini, malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim, berkata hasil tangkapan warga emas berusia 67 tahun itu, pihaknya berjaya merampas empat laras senapang patah serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk membuat senjata berkenaan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki warga emas berusia 60 dan 62 tahun yang dipercayai membeli senjata berkenaan daripada suspek.

"Semua suspek yang ditahan kini direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 7, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, selain Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan menggesa orang awam yang membeli senjata berkenaan supaya tampil membantu siasatan," katanya pada sidang media yang dibuat di sini, pagi tadi.

Berita Harian X