Khamis, 10 Disember 2015 | 5:48pm

Momo Latif koma akibat darah tinggi


LAKONAN Momo Latif dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

KUALA LUMPUR: Seniwati veteran, Momo Latif atau nama sebenarnya, Momo Makarim, 92, koma akibat darah tinggi di rumahnya di Woodlands, Singapura sejak semalam.

Momo yang terkenal melalui filem Pendekar Bujang Lapok, rebah di rumahnya selepas mengerjakan solat Maghrib.

Anaknya, Kamaliah Latif berkata, keadaan ibunya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pembuluh darah ke otaknya pecah dan memiliki harapan agak tipis untuk hidup.

"Selepas mengejarkan solat Maghrib, ibu mahu naik ke katil untuk berehat. Tiba-tiba ibu rebah dan saya sempat menyambutnya.

"Melihat keadaan ibu yang tenat saya terus menghubungi ambulans. Ibu mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kerana keadaannya kritikal selepas doktor membuat imbasan pembuluh darahnya sudah pecah dan merebak ke otaknya," katanya ketika dihubungi di Singapura.

Kamaliah berkata, selepas mendapat penjelasan doktor, beliau dan adik-beradik sepakat membawa ibu pulang ke rumah.

"Kami sepakat membawa ibu pulang ke rumah kerana mudah untuk kami menguruskan sekiranya berlaku apa-apa. Sekiranya ibu pergi, kami mahu semua anak-anaknya berada di sisi.

"Sekarang ibu masih tidak sedar dan mendapat bantuan pernafasan sepenuhnya menggunakan mesin," katanya sebak.

Momo yang juga anak jati Singapura memulakan karier dalam bidang lakonan melalui filem Toping Saitan dan Hou Yao Wan & Hoi Ling pada tahun 1941.

Selain filem Pendekar Bujang Lapok di mana Momo melakonkan watak ibu kepada Ani yang juga isteri kepada Pak Mustar, Momo turut berlakon bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Musang Berjanggut.

Momo juga berlakon bersama pengarah Mat Sentul dalam filem Mat Toyol, Mat Karung Guni, Mat Tenggek dan banyak lagi.

Selain berlakon, Momo juga terkenal sebagai penyanyi pada era 1930-an hingga 1970-an. Ketika itu, lagu dendangan Momo sering diputarkan di radio Malaysia dan Singapura.

Antara lagu nyanyian Momo adalah Tudung Periuk, Tak Jemu Menunggu, Jangan Main Mata dan dua lagu duet bersama P Ramlee iaitu Merpati Dua Sejoli dan Semenjak Berpisah.

22 dibaca
Berita Harian X