Khamis, 10 Disember 2015 | 8:10pm

Tawaran UMNO akan dibincangkan - PAS


Datuk Ahmad Yakob. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Hubungan kerjasama yang dihulurkan UMNO kepada PAS akan dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, kerja sama antara parti ini adalah perkara besar serta membabitkan dua dasar parti yang berlainan dan perlu juga dibawa ke muktamar PAS.

"Kerjasama dari segi politik, saya tidak boleh komen kerana ini mesti mari (datang) daripada pucuk pimpinan (PAS).

"Bagaimana pun saya mengharapkan dari segi kesedaran orang Melayu dan Islam di negara ini mestilah semakin baik terutama untuk meletakkan Islam di tahap yang tertinggi dalam semua perkara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Wakaf Baharu, Tumpat.

Ahmad diminta mengulas tawaran Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini yang menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Najib yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang .

Najib berkata demikian dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hubungan kerjasama antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan adalah baik dan sedang dipertingkatkan lagi.

"Kerjasama telah wujud sejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar Kelantan...sekarang ini saya meningkatkan lagi kerjasama itu," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata penjelasan berhubung tawaran jalinan kerjasama daripada UMNO itu akan dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Hanya Presiden yang akan membuat kenyataan berhubung perkara ini...kerana kita tidak mahu timbul sebarang kekeliruan," katanya.

- BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X