Khamis, 10 Disember 2015 | 10:07pm

Cheng Hoe beri tonik tambahan buat Kedah

PASUKAN Kedah menjalani latihan di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PASUKAN Kedah menjalani latihan di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SHAH ALAM: Ketibaan ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe ke tanah air esok bakal memberi tonik tambahan kepada skuad Kedah menjelang sepak mula aksi akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Kaptennya, Khairul Helmi Johari, berkata dia terharu dengan usaha pengendalinya untuk hadir menyaksikan aksi akhir terbabit meskipun sedang menjalani kursus bagi lesen kejurulatihan pro di China.

"Kehadirannya di sisi kami pada aksi penentuan nanti akan menyemarakkan lagi semangat kami selain memberi motivasi tambahan untuk menundukkan Selangor, Sabtu ini.

"Kami juga mahu menunjukkan segala tunjuk ajar dan latihan yang diberikan olehnya selama ini dapat diterjemah sebaik mungkin untuk kami mencatat kemenangan pada perlawanan akhir nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi.

Khairul Helmi berkata, kehadiran Cheng Hoe juga tidak akan menjejaskan percaturan yang sudah dibuat pengendali sementara Kedah, Ramon Marcote Puqueno.

"Kedua-duanya memiliki corak dan taktikal yang serupa jadi tidak ada yang akan berubah untuk perancangan bagi aksi final nanti," katanya.

Berita Harian X