Jumaat, 11 Disember 2015 | 7:50am

Pequeno janji mimpi ngeri buat Selangor

Roman Marcote Pequeno. - Foto Osman Adnan
Roman Marcote Pequeno. - Foto Osman Adnan

ALOR SETAR: Berbaki sehari lagi, pengendali Kedah, Ramon Marcote Pequeno, tetap tenang tetapi menjanjikan mimpi ngeri buat Selangor ketika kedua-duanya membuat perhitungan pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Pengendali dari Sepanyol itu seakan bermain psikologi apabila menyifatkan empat import lawan, Guilherme de Paula, Robert Cornthwaite, Leandro Dos Santos dan Andik Vermansyah, lebih baik berbanding apa yang dimilikinya sekarang.

Ketika anak buahnya mencipta kejutan layak ke final, nyata Pequeno seakan lebih selesa sekiranya tumpuan atau status pilihan diberikan kepada Selangor bagi memastikan faktor tekanan tidak menghantui pemainnya.

"Mereka pilihan dan turut memiliki pemain import serta tempatan yang hebat. Kami ke sana bukan untuk bercuti tetapi mahu menjulang piala.

"Tidak ada tekanan buat kami untuk cuba capai sasaran. Penyokong kami juga kekal di belakang kami dan saya mahu peminat Kedah tampil lebih hebat berbanding Selangor," katanya.

Menjelang sepak mula, Kedah pastinya mendapat suntikan awal apabila ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe akan menyertai pasukan pada perlawanan itu.

Pastinya, tempoh yang ada sekarang perlu dimanfaatkan untuk melihat perkembangan semasa pemain bagi memastikan mereka yang benar-benar bersedia akan disenaraikan.

"Kalau lihat pada lima perlawanan terakhir, kebanyakan pemain sama yang diturunkan tetapi mungkin ada ada pertukaran seorang atau dua pemain.

"Kesebelasan utama akan ditentukan pada hari terakhir. Buat masa sekarang, apa-apa boleh berlaku tetapi mungkin tidak banyak perubahan yang akan dilakukan berbanding beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.

Berita Harian X